Pas nafi tidak beri peluang pilih pemimpin

Iklan
Tuan Ibrahim

KUANTAN - Kemenangan tanpa bertanding beberapa jawatan tertinggi Pas bukan bermaksud parti itu tidak memberikan peluang kepada perwakilan untuk memilih pucuk kepimpinan.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sebaliknya parti sentiasa terbuka untuk pertandingan bagi mana-mana jawatan.

Iklan
Iklan

"Sebenarnya kita buka ruang untuk kepimpinan dan ada masanya berlaku pemilihan, tetapi tidak agresif dan berjalan dengan harmoni," katanya kepada Sinar Harian semalam.

Pemilihan Pas yang berlangsung tahun ini menyaksikan jawatan Presiden, Timbalan Presiden, Ketua Muslimat, Ketua Ulamak dan Ketua Pemudanya menang tanpa bertanding.

Iklan

Manakala, bagi jawatan Naib Presiden sebanyak empat orang telah mengesahkan pencalonan.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, Pas juga tidak menghalang mana-mana calon untuk berkempen dalam pemilihan kali ini.

Iklan

"Parti tidak larang sebarang kempen yang beretika dan berakhlak. Cuma dalam tradisi Pas, siapa yang kempen dia akan kalah, mungkin sebab itu masing-masing segan nak kempen diri sendiri," katanya.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim berkata, muktamar kali ini istimewa kerana dihadiri empat Menteri Besar iaitu dari Kelantan, Terengganu, Pahang dan Perlis.

"Kita juga jemput kepimpinan UMNO termasuk Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang sudah mengesahkan kehadiran. Kita menjangkakan ada usul dibawa berkenaan kerjasama Pas-UMNO.

"Selain itu, ada usul ekonomi, pendidikan, agama dan antarabangsa. Ada juga isu melibatkan pemantapan jentera Pas dalam konteks menghadapi PRU15," katanya.

Katanya, muktamar akan turut dihadiri wakil kedutaan asing dan negara luar.

"Pesanan saya kepada perwakilan dan pemerhati agar datang awal dan hati-hati dalam perjalanan.

Mudah-mudahan muktamar kali ini dapat membuahkan hasil yang positif.

"Saya juga nak ucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri Pahang khususnya Menteri Besar, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail yang beri kerjasama penuh untuk jayakan muktamar ini," katanya.