MARANG - Bapa seorang anak di Kelulut di sini mampu tersenyum lebar apabila pokok anggur yang ditanamnya sepanjang tempoh lima tahun semakin mengeluarkan hasil berlipat ganda.
Walaupun anggur jarang ditaman di negara ini, namun ia mampu hidup subur di laman belakang rumah Mohd Salleh Angullia Isa, 26, yang turut menamakan kawasan itu sebagai Pine Hill's Garden.
Beliau menanam empat jenis pokok anggur iaitu jenis alphonso lavallee, black ozark, isabelle dan IAC yang kini hidup subur hingga melingkar di laman belakang rumah dengan tangkai yang berbuah lebat.
Ahli perniagaan itu kini menjadi salah seorang yang berjaya menanam tanaman itu walaupun keadaan cuaca negara ini panas serta hujan lebat setiap akhir tahun dengan teknik penanaman yang betul.
Mohd Salleh berkata, minat mendalam dalam berkebun membuktikan sesuatu tanaman bukan saja bermanfaat, malah mampu memberikan pendapatan jika diusahakan secara komersial.
Katanya, walaupun hanya menanam sebanyak empat pokok anggur, projek yang diusahakan sejak lima tahun lalu itu pernah mengeluarkan hasil sebanyak 15 kilogram setiap pokok dua tahun lepas.
Menurutya, dia memilih untuk mengusahakan tanaman berkenaan kerana mahu mencabar kemampuannya dalam bidang pertanian yang merupakan sebahagian daripada minatnya.
"Saya menaman tanaman ini dengan niat untuk melihat hasilnya. Setelah memulakannya saya terus mencuba untuk mencari kaedah yang sesuai dan akhirnya ia membuahkan hasil diidamkan.
"Berbekalkan dengan teknik tanaman yang betul dan pengetahuan, alhamdulillah pokok anggur yang ditanam matang dalam tempoh 12 bulan dari hari pertama ia mula ditanam,” katanya.
Suami kepada Nur Amira Kuzain, 24, itu berkata, anggur yang diusahakannya bukan sahaja mampu berbuah lebat malah rasanya juga sama seperti anggur dihasilkan dari kawasan beriklim empat musim.
Ketika ditanya mengenai perancangan masa depannya, beliau akan memperluaskan tanaman itu dan berhasrat untuk menjadikan Pine Hill's Garden sebagai salah satu produk pelancongan di Marang.
Selain anggur, Mohd Salleh turut menanam strawberi dan sayur-sayuran serta durian belanda di halaman belakang rumahnya di Pine Hill's Garden yang terletak di kawasan hutan berbukit di Kelulut.