IPOH - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak mempelawa universiti tempatan menjalankan kajian mengenai kemandirian Tuntung di Sungai Perak yang dilaporkan semakin berkurangan.
Timbalan Pengarah Jabatan Perhilitan Perak, Wan Shaharuddin Wan Nordin berkata, lebih lima tahun tuntung yang menjadikan tebing sungai berpasir sekitar Bota sudah tidak kelihatan bertelur.
"Dahulu tuntung akan bertelur di dua lokasi iaitu di pantai perlepasan Pusat Konservasi Hidupan Liar (Tuntung) serta pulau yang terdapat di bawah Jambatan Sultan Idris Shah II, Bota Kanan.
"Akan tetapi sejak lima tahun lalu kelibat haiwan ini bertelur sudah tidak kelihatan serta tiada laporan daripada nelayan mahupun kaki pancing terlihat kehadiran tuntung di Sungai Perak ini,” katanya.
Tambahnya, keadaan tersebut amat membimbangan walaupun Pusat Konservasi Hidupan Liar (Tuntung) Bota Kanan melepaskan antara 200 hingga 300 ekor tuntung berusia setahun hingga dua tahun setiap tahun.
"Jadi adalah menjadi harapan agar ada universiti yang berminat untuk menjalankan kerjasama dengan kami bagi melakukan kajian mengenai survival spesies tuntung di Sungai Perak kerana orang kampung cakap mereka sudah tidak nampak tuntung lagi.
"Saya juga mengalu-alukan maklumat daripada orang ramai terutamanya nelayan sungai serta kaki pancing melaporkan kepada Pusat Konservasi Hidupan Liar (Tuntung) Bota Kanan sekiranya terlihat kelibat tuntung di Sungai Perak,” katanya.
Wan Shaharuddin berkata demikian selepas hadir pada Program Pelepasan Tuntung Bersama Sekolah Kebangsaan Seri Kelebang, Ipoh, yang disertai seramai 29 murid tahun enam di Pusat Konservasi Hidupan Liar (Tuntung) Bota Kanan di sini semalam.
Ditanya apakah faktor menyebabkan kelibat tuntung tidak kelihatan di Sungai Perak sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Wan Shaharuddin berkata perubahan bentuk sungai serta tebing merupakan faktor utama.
"Kualiti air sungai serta keadaan tebing berpasir yang kotor dan kurang berpasir menyebabkan haiwan ini sukar mencari tempat untuk bertelur hingga menyebabkan ia tidak kelihatan lagi,” katanya.
Lebih lima tahun tuntung yang menjadikan tebing sungai berpasir sekitar Bota sudah tidak kelihatan bertelur