[DIKEMASKINI] PELAKON Datuk Farid Kamil dibenar menangguhkan perlaksanaan hukuman penjara sembilan bulan yang sedang dijalaninya sejak Mei lalu.
Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Ab Karim Ab Rahman membuat keputusan itu selepas mempertimbangkan tempoh pemenjaraan yang diputuskan oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya adalah singkat.
Permohonan suami Diana Danielle itu dibenarkan dengan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin.
Sebagai syarat tambahan, mahkamah memerintahkan Farid Kamil menyerahkan passport antarabangsanya dan diperintah melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap bulan sehingga kes selesai.
Terdahulu, peguam Amirul Ridzuan Hanif yang mewakili Farid Kamil memaklumkan bahawa pihaknya telah memasukkan Sijil Perakuan Segera ketika memfailkan permohonan penangguhan tersebut pada 31 Mei lalu.
ARTIKEL BERKAITAN: Dadah: Farid Kamil dipenjara sembilan bulan
Farid Kamil, 38, atau nama sebenarnya Farid Kamil Zahari telah menjalani hukuman itu selama 35 hari sejak 15 Mei lalu.
Ketika ditemui Farid Kamil bersyukur dengan keputusan itu.
"InsyaALLAH, semuanya ALLAH permudahkan," katanya sambil tersenyum.
Pada 15 Mei lalu, Majistret Petaling Jaya Nor Ariffin Hisham menjatuhkan hukuman penjara sembilan bulan terhadap Farid Kamil selepas pelakon itu memilih untuk berdiam diri pada prosiding pembelaan.
Justeru mahkamah mensabitkannya terhadap pertuduhan menggunakan dadah jenis ganja Tetra Hydrocannibol (THC) Januari tahun lalu.