TAPAH - Pemimpin masyarakat orang asli di DUN Chenderiang meluahkan kebimbangan akan gejala penagihan air ketum yang semakin menular dalam kalangan belia komuniti itu.
Perkara itu dibangkitkan wakil Tok Batin, Amit Joyo Bah Chu Hong ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Pemimpin bersama Masyarakat Orang Asli DUN Chenderiang yang dihadiri Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P Waytha Moorthy, semalam.
Menurutnya, pengambilan air ketum dan alkohol semakin berleluasa di beberapa kampung di DUN itu.
"Kita mohon agar kerajaan dapat bantu membanteras gejala ini, ia semakin menular dalam kalangan belia orang asli di kawasan ini," katanya.
Perkara lain dibangkitkan adalah mahu kerajaan mempercepatkan proses pewartaan tanah yang diduduki orang asli dan penyelesaian isu pembebasan hutan yang tertangguh sehingga kini.
Mereka juga memohon kerajaan dapat memberikan cuti umum untuk meraikan perayaan orang asli selain peruntukan tambahan bagi projek infrastruktur seperti lampu jalan, dewan dan untuk projek pembangunan ekonomi antaranya durian Musang King bagi menjana pendapatan orang asli.
Dalam pada itu, Ahmad Faizal dalam ucapannya berkata, kerajaan negeri dan Pusat memang memandang serius gejala penagihan.
"Masalah ini bukan sahaja berlaku kalangan masyarakat orang asli tetapi di kampung-kampung lain juga termasuklah perkampungan Melayu, Cina dan India," katanya.
Mac lalu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan kerajaan tidak berhasrat untuk menyenaraikan ketum dalam Akta Dadah Berbahaya 1952. Bagaimanapun kementerian itu dalam proses meminda Akta Racun 1952 bagi mengawal penanaman, pemilikan dan pengedaran ketum.