JOHOR BAHRU - Keputusan drastik Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyerahkan tugas dan amanah Presiden Umno kepada Datuk Seri Mohammad Hassan adalah satu langkah paling berani.
Ahli Umno, Datuk Ayub Rahmat berkata, langkah tersebut sudah pasti akan merubah landskap politik Malaysia yang kini semakin bercelaru.
"Pertamanya, ucapan sekalung penghargaan dan jutaan terima kasih kepada Ahmad Zahid kerana telah membayar harga yang cukup mahal setelah mengemudi Umno selepas BN kalah di dalam PRU14.
"Sudah pasti keputusan yang dibuat itu memerlukan pengorbanan, kekuatan minda dan kejujuran hati serta asas untuk membuktikan kepada rakyat Malaysia bahawa Umno sudah berubah dengan secara keseluruhan dengan tidak lagi meletakkan institusi Presiden sangat eksklusif yang menjadi kelaziman sejak Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Presiden Umno.
"Jujurnya, kerajaan PH yang diketuai oleh Mahathir sendiri sudah tidak mempunyai banyak pilihan untuk melemahkan perjuangan Umno yang mempunyai asas dan tujuan yang jitu," katanya dalam satu kenyataan.
Ayub berkata, sebarang usaha ugutan dan ancaman terhadap Umno sudah tidak boleh dipraktikkan lagi, malah akan menyaksikan musuh Umno akan terdiam terutamanya 'musuh-musuh dalam selimut'.
"Oleh itu, di bawah kepimpinan Umno yang baharu, dicadangkan agar Umno dapat melakukan beberapa perubahan drastik demi survival Umno di masa hadapan.
"Antaranya Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Umno di negeri mestilah gabungan Adun dan Ahli Parlimen supaya usaha melengkapi berlaku di peringkat negeri dan persekutuan.
"Umno perlu memperkukuhkan semula bahagian dan cawangannya serta berusaha untuk mengistyiharkan jumlah sebenar ahli umno yang masih aktif dan akan bersama-sama berjuang untuk kembali menjadi kerajaan dalam PRU15 nanti," katanya.
Beliau yang juga bekas Exco kerajaan negeri memberitahu, di peringkat negeri, beberapa perubahan perlu dilaksanakan agar kelaziman meletakkan ketua bahagian sebagai barisan atasan agak lapuk kerana ketua bahagian sendiri amat diperlukan di peringkat bahagian bagi melaksanakan strategi yang lebih upaya di peringkat akar umbi.
"Bawalah masuk tokoh Melayu yang dekat dengan Umno dan disenangi rakyat menjawat jawatan yang boleh dicipta supaya gerakan yang lebih efisyen dan luas sudut pandangannya.
"Istilah Umno untuk Umno, pemuda untuk pemuda, wanita untuk wanita dan puteri untuk puteri sudah tidak boleh diguna pakai di Malaysia baharu ini.
"Umno mesti bersifat universal tetapi dalam masa sama akan mempertahankan kedaulatan beraja, menjulang Islam dan memperkasakan Melayu," katanya.
Ujarnya lagi, pentingnya untuk pentadbiran Umno mengenal pasti lebih 22,000 cawangan yang telah bertahun lamanya menjadi pengerak dan pengemudi di serata negara.
"Siapa lagi yang mesti melakukan usaha ini jika bukan di peringkat pentadbiran pusat. Kepimpinan Umno perlu berhenti membuat dasar yang terlalu umum. Setiap dasar mesti mempunyai strategi, mekanisme dan gerak kerja yang lebih jelas," katanya.
Jelasnya lagi, Umno mesti menghentikan sebarang usaha untuk membela individu sebaliknya perlu membawa agenda parti secara bersama dan ia mesti berjalan dengan lancar.
"Tidak ada agenda di dalam agenda kecuali mahukan rakyat Malaysia merasai kehadiran Umno mestilah memberi kebaikan kepada mereka dan generasi yang akan datang," katanya.