Beri akses pembiayaan lebih luas kepada pembeli rumah pertama

Iklan
Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR - Bank seharusnya memberikan akses kepada pembiayaan secara lebih meluas kepada pembeli rumah pertama, serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS), untuk memacu perkembangan ekonomi.

Ini berikutan tahap kesihatan kewangan isi rumah yang semakin beransur pulih, dengan kadar keberhutangan isi rumah berbanding keluaran dalam negeri kasar (KDNK) jatuh kepada 83 peratus pada 2018 daripada 83.8 peratus pada 2017, menurut Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam satu kenyataan hari ini.

Iklan
Iklan

"Hasil perkembangan ini, pengguna kini mempunyai ruang yang lebih besar untuk meminjam bagi tujuan mengumpul kekayaan, sama ada untuk skim simpanan, atau untuk pelaburan bukan bertujuan spekulasi, termasuk pemilikan aset jangka masa panjang,” katanya.

Secara purata, Guan Eng berkata, hutang isi rumah bersandarkan jumlah aset yang bersesuaian dan menurut statistik Bank Negara Malaysia (BNM), kadar aset kewangan isi rumah ialah 2.1 kali hutang isi rumah.

Iklan

Ini menunjukkan bahawa isi rumah secara purata memiliki lebih banyak aset daripada hutang, yang memberikan mereka penampan yang diperlukan untuk menghadapi sebarang kemungkinan pembiayaan, katanya.

"Namun, kerajaan menyedari bahawa isi rumah berpendapatan rendah mudah terjejas apabila mengalami kejutan dan benar-benar memerlukan bantuan untuk meningkatkan kekuatan kewangan mereka.

Iklan

"Kerajaan telah berjaya melakukan perkara ini dengan menambah baik program pemindahan wang Bantuan Sara Hidup (BSH), memperkenal skim insurans kesihatan awam percuma mySalam, dan menstabilkan harga runcit petrol RON95 dan diesel,” katanya.

Menurut Guang Eng, keputusan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM pada 7 Mei 2019 untuk memotong Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 3.00 peratus daripada 3.25 peratus juga telah mengurangkan kos pinjaman dan pengurangan ini telah disalurkan sepenuhnya oleh bank-bank kepada para peminjam.

"Kerajaan juga telah meminta BNM untuk mengingatkan semua bank agar tidak mengklasifikasikan pinjaman oleh perusahaan yang tidak menghadapi masalah membayar balik pinjaman, tetapi mahu menstruktur dan menjadualkan (R&R) semula pinjaman kepada tempoh yang panjang untuk menambah baik aliran tunai mereka, sebagai pinjaman tidak berbayar (NPL),” katanya.

Sementara itu, Guan Eng berkata, kerajaan tekad memastikan harga barangan asas terkawal dan memandang berat peningkatan harga simen seperti yang dilaporkan.

"Kementerian Perniagaan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di bawah kepimpinan Datuk Seri Saifuddin Nasution telah mengeluarkan notis di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan kepada 19 pengeluar simen di seluruh negara untuk mendapatkan penjelasan punca kenaikan tersebut.

"Lebih-lebih lagi, kerajaan akan terus melaksanakan peranan sebagai pengawal selia yang berkesan untuk memastikan harga simen kekal berdaya saing dan tidak dinaikkan berdasarkan faktor-faktor monopoli,” katanya. - Bernama