Dipenjara 10 tahun dera anak tiri

Iklan
Khairul Izaini Khairuddin, 32, selepas tertuduh mengaku bersalah ke atas dua pertuduhan mendera Muhammad Qairil Aqmal Abdul Hakim, antara Ogos 2017 hingga November 2018.

AMPANG - Padah mendera anak tiri yang berusia tiga tahun hingga menyebabkan kanak-kanak itu meninggal dunia tahun lepas, seorang lelaki dihukum penjara 10 tahun oleh Mahkamah Sesyen Ampang di sini hari ini.

Hakim Azrul Darus menjatuhkan hukuman itu ke atas Khairul Izaini Khairuddin, 32, selepas tertuduh mengaku bersalah ke atas dua pertuduhan mendera Muhammad Qairil Aqmal Abdul Hakim, antara Ogos 2017 hingga November 2018.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun lelaki yang dikenali dengan panggilan 'Boy Tiger' itu hanya perlu menjalani hukuman penjara selama lima tahun kerana hukuman itu diperintah berjalan serentak bermula dari tarikh tangkap pada 12 November 2018.

Pada 22 November tahun lepas, dia mengaku dua pertuduhan mendera kanak-kanak yang berusia tiga tahun empat bulan itu di dua lokasi berasingan iaitu di Kampung Indah Permai dan Taman Ampang Saujana, antara Ogos 2017 hingga November 2018.

Iklan

Dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 itu memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Hukuman ke atas Khairul Izaini ketika itu ditangguhkan kerana dia mendakwa mempunyai masalah mental skizofrenia (gangguan) sejak dari kecil.

Iklan

Dia telah dihantar menjalani pemeriksaan selama 30 hari di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak.

Bagaimanapun laporan daripada hospital tersebut mendapati ketika kejadian, tertuduh waras dan sedar perbuatan yang dilakukan ke atas kanak-kanak itu.

Berdasarkan fakta kes, pada 8 Januari 2018, kanak-kanak malang itu dibawa oleh ibunya dan tertuduh ke Jabatan Kecemasan Hospital Ampang kerana tidak sedarkan diri.

Mangsa didapati mempunyai banyak kesan luka di muka, perut dan belakang badan dan patah dibahagian belakang kepala.

Perbuatan tertuduh mendera mangsa telah disaksikan ibu kandungnya yang juga merupakan isteri tertuduh.

Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nadiah Mohd Fauzie memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara maksimum bagi memberi pengajaran atas perbuatan tertuduh.

Bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah memberikan hukuman ringan kerana dia telah menyesal dengan perbuatannya serta mempunyai tiga anak kandung yang perlu ditanggung selain isteri yang tidak bekerja.

Selain dua pertuduhan mendera, lelaki yang bekerja sebagai tukang paip itu turut berdepan tuduhan membunuh kanak-kanak tersebut di ruang tamu di sebuah rumah di Taman Bukit Indah, Ampang, di sini pada 11 pagi, 8 November 2018.

Bagi kesalahan itu dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Kes tersebut kini telah dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk dibicarakan.

Pada 9 November 2018, akhbar melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun, maut dipercayai akibat didera dan kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan selepas 30 minit dihantar ke Hospital Ampang oleh bapa tiri serta ibu kandungnya dalam keadaan tidak sedarkan diri.