Bina banyak rumah mampu milik

Iklan
Wan Rosdy (depan, kiri) mendengar penerangan daripada Norzan (depan,kanan) mendengar plan replika Projek Pembangunan PR1MA Pahang, Perumahan Mampu Milik dan Perniagaan Atas Tanah Kerajaan di Wisma Sri Pahang.

KUANTAN- Kerajaan Pahang melancarkan projek baharu Perumahan Rakyat 1Malaysa (PR1MA) dan Rumah Makmur di Chenor, Maran dalam usaha menawarkan lebih banyak rumah mampu milik kepada rakyat di negeri itu.

Sebanyak 712 unit kediaman telah ditawarkan dengan harga bermula RM80,000 yang dibangunkan dengan kerjasama Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang dan Angsanapuri Development Sdn Bhd.

Iklan
Iklan

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kos keseluruhan berjumlah RM260 juta itu merupakan fasa pertama projek yang dibangunkan secara berperingkat yang dijangka siap pada tahun 2021.

"Untuk fasa pertama, kita menjangkakan sejumlah 58 unit PR1MA Pahang dan 57 unit Rumah Makmur disiapkan mengikut jadual dalam tempoh dua tahun, diikuti fasa kedua dengan 114 unit PR1MA Pahang dan fasa terakhir pula membabitkan pembinaan 70 unit PR1MA Pahang dan 54 unit Rumah Makmur," katanya.

Iklan

"Kerajaan negeri dan pihak pemaju telah bersetuju untuk memberi keutamaan kepada pembinaan Rumah Makmur dan PR1MA Pahang terlebih dahulu sebelum membangunkan kawasan seluas 122 ekar ini dengan hartanah komersial lain," katanya

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Cadangan Projek Pembangunan PR1MA Pahang, Perumahan Mampu Milik dan Perniagaan Atas Tanah Kerajaan di Wisma Sri Pahang.

Iklan

Perjanjian itu ditandatangani Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak dan Pengarah Eksekutif Angsanapuri Development Sdn Bhd, Datuk Norzan Ahmad.

Turut hadir, Exco Felda, Keusahawanan dan Hal Ehwal Pengguna Pahang, Datuk Nazri Ngah; Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Abdul Rahim Muda dan Exco Kebudayaan, Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin.

Wan Rosdy berkata, projek itu bakal menjadi mercu tanda baharu bagi kawasan Bandar Pusat Jengka apabila siap kelak kerana ia merangkumi pembangunan kediaman mampu milik, pelbagai bangunan komersial dan kemudahan setaraf dengan bandar besar lain.

"Saya difahamkan pembangunan kawasan ini turut membabitkan pembinaan 'floating market' yang pertama seumpamanya di negeri ini dan mungkin di Malaysia, jadi sudah pasti ia akan memberikan nilai tambah kepada projek ini.

"Kalau boleh, saya minta pihak pemaju dapat melaksanakan projek ini mengikut jadual dan kalau dapat disiapkan lebih awal daripada jadual, lagi bagus," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai masalah permohonan pinjaman yang sering dihadapi pembeli rumah PR1MA Pahang, beliau berkata, ia bergantung sepenuhnya kepada polisi institusi kewangan.

"Memang saya dapat maklumat mengenai kesukaran dihadapi pembeli untuk memperoleh pinjaman bank, tapi ia (permohonan pinjaman) adalah bidang kuasa mereka (institusi kewangan).

"Cuma, kalau rakyat tidak mendapat pinjaman untuk memiliki PR1MA Pahang, mereka boleh mengemukakan permohonan untuk memiliki Rumah Makmur yang ditawarkan pada harga RM80,000," katanya.