SEREMBAN - Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad menegaskan adalah tidak wajar Kementerian Pendidikan mendapatkan pandangan bukan Islam bagi menambah baik silibus mata pelajaran Pendidikan Islam di sekolah kebangsaan.
Katanya, orang bukan Islam tidak memiliki kefahaman mengenai hukum dan peraturan agama Islam, jadi bagaimana mereka dapat membantu memberi pandangan.
"Apabila saya menerima maklumat hal ini, saya tertanya-tanya kenapa pula bukan Islam nak tentukan macam mana hal-hal orang Islam?
"Mereka mungkin akan ikut cara akal sedangkan orang Islam ikut ilmu yang kita tahu, peraturan ilmu, iktikad, akidah dan amalan Islam lain, memang tidak sepatutnya pandangan bukan Islam diambil untuk memperbaiki hal-hal berkaitan pendidikan Islam,”katanya.
Beliau ditemui pada sidang media selepas merasmikan pembukaan Restoran Nasi Kandar Liga Maju di sini.
Hadir sama Pengarah restoran itu, Mohd Ismail Abu Bakar.
Tambahnya, orang bukan Islam tidak percayakan agama Islam, bagaimana mereka mahu menentukan apa yang baik untuk agama Islam.
Katanya, perkara ini sama juga jika umat Islam diminta untuk memberi pandangan mengenai agama dan ibadah agama lain, maka umat Islam juga tidak boleh lakukannya kerana tidak tahu apa yang terbaik untuk mereka.
"Kita (umat Islam) tak boleh beri pandangan penambahbaikkan kepada ibadah agama lain, begitu juga mereka, jika perkara ini dibenarkan ia akan menimbulkan lebih banyak pertentangan pendapat berhubung ajaran Islam yang sebenar,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Teo Nie Ching nafi cuba campuri urusan pendidikan Islam di sekolah
Terdahulu, Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching mengalu-alukan semua pihak tanpa mengira kaum dan agama untuk memberi pandangan serta idea kepada pasukan khas bagi meneliti isu-isu melibatkan Pendidikan Islam di sekolah kebangsaan.
Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kemudian mempersoalkan tindakan tersebut yang disifatkan tidak sesuai kerana orang bukan Islam tidak memahami agama itu dan bakal mencetuskan kecelaruan dalam masyarakat.
Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, Mohd Yusof meminta supaya semua restoran makan di negeri ini membuat permohonan sijil halal bagi membolehkan pemantauan berterusan dilakukan oleh penguatkuasa dari Bahagian Halal, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam negeri ini.
Katanya, pemantauan terutama dari segi kebersihan dan penggunaan bahan masakan secara berterusan adalah sangat penting bagi memastikan premis makanan di negeri ini mengikut konsep Halalan Toyibbah selain mewujudkan rasa keyakinan yang tinggi terhadap pengunjung untuk datang makan di premis mereka.