Ramasamy cuba amal double standard

Iklan
Mohd Hafez

IPOH - Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang Dr P Ramasamy dilihat cuba mengamalkan 'double standard' dalam menyuarakan pendapat berhubung tindakan Armada Bersatu menyerah memo menggesa perletakan jawatan Menteri Perpaduan, P Waytha Moorthy.

Ketua Armada Bersatu Perak, Mohd Hafez Mubin Mohd Salleh berkata, penyerahan memo berkenaan bukanlah sesuatu yang melambangkan rasa tidak hormat tetapi ia adalah salah satu cara untuk menyampaikan permintaan atau cadangan kepada pihak yang sewajarnya.

Iklan
Iklan

"Penyerahan memo menggesa perletakan jawatan Waytha Moorthy oleh Armada Bersatu kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad adalah bertujuan menzahirkan pendirian Armada Bersatu berhubung perkara ini kepada Tun.

"Pastinya Armada Bersatu menaruh harapan tinggi agar permintaan ini menjadi kenyataan namun jika sebaliknya, kami tetap akur dan patuh akan sebarang keputusan yang dibuat oleh perdana menteri," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Iklan

Menurut Mohd Hafez, Armada Bersatu Perak juga menyifatkan kenyataan Ramasamy mendesak supaya Ketua Armada, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman diambil tindakan atas alasan kononnya Armada Bersatu mempersoalkan keputusan dan menghina kebijaksanaan Mahathir juga dilihat sebagai satu tindakan melampau serta tuduhan yang tidak berasas sama sekali.

"Julai lalu, Ketua Dapsy (ketika itu) pernah melakukan tindakan lebih serius mempertikai dan mengecam keputusan Perdana Menteri secara terbuka kerana pengaturan senarai Kabinet tidak mengikut bilangan kerusi dimenangi sesebuah parti, malah keputusan sedemikian juga tidak menghormati cadangan pimpinan parti seperjuangan.

Iklan

"Mengapa pada ketika itu Ramasamy tidak bersuara dan mendesak kepimpinan parti dia mengambil tindakan berhubung perbuatan ini? Tidakkah dia beranggapan bahawa perbuatan ini menghina kebijaksanaan Perdana Menteri ketika itu," katanya.

Mohd Hafez turut menasihati Ramasamy agar membuat ulang kaji terlebih dahulu dan berhati-hati sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan selepas ini.

"Adalah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk memelihara hubungan erat yang terjalin kukuh di antara parti-parti gabungan dalam PH ini seterusnya menggalas amanah yang diberi oleh rakyat dengan sebaiknya," katanya.