PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan bahawa kesemua ahli parti merupakan 'team' presiden.
Beliau mengulas perkara itu ketika ditanya jika wujud dua pasukan di antara Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Menurutnya, soalan itu pernah didengari sejak awal penubuhan parti.
"Semuanya adalah 'team' presiden," katanya pada sidang media di Kementerian Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di Putrajaya hari ini.
Dalam pada itu, ditanya adakah PKR mampu menangani isu klip video intim dikaitkan dengan seorang menteri tanpa melibatkan Pakatan Harapan (PH), beliau berkata ianya masih bergantung kepada hasil siasatan.
"Kita menyerahkan isu itu kepada pihak polis untuk menyiasat.
"(Tapi) sekarang kamu bertanya adakah PKR mampu selesaikan. Bagaimana kita nak selesaikan kalau polis masih lagi menyiasat," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, tiada keperluan Azmin untuk melakukan sumpah laknat yang didakwa bukan amalan parti.