KUALA TERENGGANU- Gara-gara takut dimarahi mak kerana bermain futsal sehingga lewat petang, seorang kanak-kanak mereka cerita tentang dirinya cuba diculik.
Bukan itu sahaja, kanak-kanak berusia 12 tahun dari Merchang, Marang itu turut membuat laporan polis semalam, malah bercerita lanjut tentang seorang individu yang menaiki van putih telah menariknya dari belakang, namun berjaya melepaskan diri.
Bagaimanapun, setelah siasatan dijalankan, ternyata dakwaan itu tidak benar dan kanak-kanak itu mengaku mereka cerita kerana takut dimarahi emaknya.
Timbalan Ketua Polis Terengganu, Datuk Allaudeen Abdul Majid yang memandang serius akan dakwaan palsu yang dibuat berkata.
Menurutnya, tindakan tegas perlu dibuat memandangkan kes laporan palsu, khususnya membabitkan penculikan oleh kumpulan van putih sudah berulang kali dibuat sebelum ini.
"Bagi kes ini, memandangkan dia masih di bawah umur, kita akan bincang dengan pihak pendakwaan untuk tindakan seterusnya.
"Kita perlu bertegas kerana membuat laporan palsu adalah satu kesalahan jenayah di bawah kanun keseksaan. Kita tidak mahu ada yang terus mengambil kesempatan dan membuat laporan palsu, sedangkan ia tidak benar.
"Kes sebegini apabila dikongsi di media sosial, akan menimbulkan kegemparan dan ketakutan kepada orang ramai. Kalau ia berterusan, kita bimbang jika ada berlaku penculikan yang betul, orang akan anggapnya tidak benar,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu di sini hari ini.
Insiden cubaan culik itu tular di media sosial sejak semalam setelah salinan laporan polis dan gambar kanak-kanak itu disebarkan dan dikongsi netizen.
Mengulas lanjut mengenai kes itu, beliau berkata, hasil siasatan yang dibuat, kenderaan yang didakwa digunakan dalam kes cubaan penculikan itu adalah milik individu di Selatan tanah air dan tidak terlibat dalam kejadian berkenaan.
Beliau turut menegaskan, hanya 11 kanak-kanak dilaporkan hilang di Terengganu sepanjang tempoh 2015 hingga Mei lalu, namun sembilan kanak-kanak berjaya ditemui semula manakala dua lagi kanak-kanak perempuan yang masih belum diketahui.
Bagaimanapun, kesemua sembilan kes berkenaan tidak melibatkan unsur jenayah seperti penculikan atau ugutan, sebaliknya berpunca daripada masalah keluarga.
"Setakat ini memang tiada kes cubaan menculik membabitkan kumpulan van putih ini di Terengganu. Tapi bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini, kita ingatkan ibu bapa untuk sentiasa awasi anak-anak dan ambil tahu ke mana mereka pergi, dengan siapa mereka berkawan. Mereka kena tahu aktiviti anak-anak dan awasi keselamatan mereka.
"Pada masa yang sama, saya minta masyarakat sebelum tularkan kes-kes sebegini, semak dulu dengan pihak berkuasa. Perkara tular yang tidak berasas ini hanya akan menyebabkan kegemparan, ketakutan dan perasaan tidak selamat dalam kalangan masyarakat,” katanya.