Rumah, masjid dipukul ribut

Iklan
Penduduk bergotong-royong menurunkan kanopi dari atas bumbung Masjid Al Solehin, Kubang Bemban pagi semalam.

BESUT - Lebih 15 kediaman dan sebuah masjid mengalami kerosakan akibat dipukul ribut dalam kejadian di beberapa buah kampung sekitar daerah ini petang semalam.

Bagaimanapun kejadian yang berlaku antara jam 5.30 petang hingga 7.30 malam itu dilaporkan tidak melibatkan kemalangan jiwa atau kecederaan.

Iklan
Iklan

Antara premis yang mengalami kerosakan bumbung teruk adalah Masjid Al Solehin, Kubang Bemban dekat Alor Lintah, di sini.

Pengerusi Jawatankuasa masjid berkenaan, Wan Mazlan Wan Ismail berkata, bahagian hadapan bumbung masjid pecah akibat dihempap sebuah sebuah kanopi yang diterbangkan angin.

Iklan

Menurutnya, kanopi yang berada di hadapan masjid telah diterbangkan angin kuat dan terangkat sebelum terjatuh atas bumbung masjid.

"Ia mengakibatkan beberapa keping atap asbestos bahagian mengambil air sembahyang pecah dan syukur ketika kejadian tidak ada jemaah di situ.

Iklan

"Bumbung bahagian belakang masjid turut mengalami kerosakan namun ia tidak melibatkan ruangan utama solat,” katanya ketika ditemui di pekarangan masjid itu hari ini.

Sementara itu menurut Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kubang Bemban, Dhiauddin Mustafa, selain masjid sebanyak enam buah rumah penduduk turut mengalami kerosakan bahagian bumbung.

Menurutnya, kejadian tersebut berlaku dalam tempoh sama dengan yang berlaku di masjid iaitu bermula dengan hujan lebat disusuli ribut kencang.

"Kejadian ribut memang kuat sehingga bumbung rumah penduduk diterbangkan angin,” katanya yang mengiringi Pegawai Khas kepada Pegawai Penyelaras DUN Jertih, Wan Syukri Wan Isa bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat Besut dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Besut melawat rumah mangsa pagi tadi.

Pegawai Penyelaras DUN Jertih, Wan Azhar Wan Ahmad berkata, pihaknya telah meninjau dan mendapatkan maklumat semua mangsa terlibat.

Menurutnya, tindakan awal pihaknya ialah membaiki kerosakan segera bagi memastikan mangsa dapat tinggal di rumah masing-masing dengan selesa berikutan musim hujan sekarang.