DEK kerana tidak mampu membelikan beg sekolah yang sebenar, seorang bapa di Kemboja menganyam tali rafia untuk dijadikan beg sekolah anaknya.
Menurut perkongsian Sophous Suon di laman Facebook miliknya, anyaman tali rafia berwarna biru itu turut dilengkapi dengan dua tali hitam serta kancing atau cangkuk untuk menutup beg tersebut.
Menerusi beberapa keping gambar dikongsi, beg sekolah itu juga dilihat cukup kukuh untuk menampung beberapa buku.
Kisah berkenaan tular dan menyentuh hati ramai pengguna media sosial.
Rata-rata pengikut memuji idea kreatif bapa kanak-kanak berkenaan. Malah, ada juga di antara mereka tersentuh dengan kasih sayang seorang bapa yang sanggup melakukan apa sahaja untuk anaknya.
Sehingga kini, entri itu mendapat hampir 6,000 perkongsian.