KUALA KANGSAR - Tindakan seorang buruh membuat ugutan cuba ‘santau’ anggota trafik yang menjalankan tugas penguatkuasaan lalu lintas akhirnya menerima padah apabila dia ditahan polis semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.20 pagi itu, suspek berusia 36 tahun yang memandu kereta jenis Perodua Kembara ditahan dalam Op Penguatkuasa Lalulintas di Jalan Idris di sini
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Razali Ibrahim berkata, satu saman telah dikeluarkan apabila suspek didapati tidak memakai tali pinggang keledar ketika memandu.
"Tiba-tiba suspek telah keluarkan perkataan ‘tak tahu ka anak aku berak, sapu taik kat kamu baru tau, kamu tak ada akal ka dan kamu tunggu aku santau kamu bukan mahal pun nak santau RM5 je dah boleh santau’.
"Semasa perkataan diucapkan, ia jelas didengari oleh anggota berkenaan bersama saksi lain. Anggota bertindak menangkap suspek kerana mengeluarkan perkataan mengugut dan biadab ke atas anggota yang sedang menjalankan tugas,” katanya.
Menurutnya, suspek dibawa balik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Kangsar dan hasil siasatan mendapati suspek tidak berpuas hati dengan tindakan saman yang dikeluarkan itu.
"Kata-kata ugutan tersebut menyebabkan pengadu iaitu anggota terlibat berasa terancam.
"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu membuat ugutan jenayah,” katanya.