JOHOR BAHRU - Sebuah hospital pakar bakal dibangunkan di atas tanah wakaf milik Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) seluas 5.41 ekar di Bandar Baru Uda di sini.
Projek pembangunan yang turut melibatkan pembinaan hotel berkonsepkan 'medical tourism' itu akan dilaksanakan oleh Kencana Healthcare Sdn Bhd.
Pengerusi Eksekutif Kencana Healthcare Sdn Bhd, Datuk Ahmad Raziff Abu Bakar berkata, pihaknya membuat pelaburan di atas tanah wakaf tersebut dengan kerjasama MAINJ menerusi Perbadanan Islam Johor (PIJ).
Menurutnya, beliau percaya projek dijangka siap sepenuhnya pada pertengahan tahun 2022 itu bakal memberikan impak yang tinggi dalam jangka masa panjang.
"Projek pembangunan ini terdiri daripada hospital 306 katil yang akan diurustadbir oleh sebuah syarikat terkemuka dalam bidang kardiologi di dalam negara.
"Kemudian, hotel bertaraf empat bintang dengan kemudahan 154 bilik selain dewan bankuet, pusat latihan dan kolam renang ini akan diurustadbir oleh Avillon Berhad," katanya ketika ditemui di tapak projek tersebut di Jalan Tahana, Bandar Baru Uda di sini hari ini.
Turut hadir, Pengurus Besar PIJ, Abdul Rashid A Rahman.
Ahmad Raziff berkata, pembangunan yang bakal menyediakan ruang tempat letak kenderaan sebanyak 1,184 buah itu membabitkan nilai pembangunan kasar (GDV) RM640 juta.
Katanya, projek pembinaan yang telah bermula itu bakal memberi pulangan dalam tiga bentuk iaitu sewaan atau gunapakai tanah dan ekuiti kepada MAINJ dan PIJ serta subsidi atau hibah untuk golongan sasaran iaitu asnaf dalam bentuk kad insurans takaful perubatan.
"Jumlah keseluruhan kita akan pulangkan balik dianggarkan lebih kurang RM945 juta bagi tempoh 60 tahun pajakan. Projek ini, kita diberikan pajakan selama 98 tahun.
"Maknanya lepas 60 tahun, kita akan pulangkan balik kepada pihak PIJ dan MAINJ. (Kemudian) terpulang kepada PIJ dan MAINJ sekiranya kita diberikan peluang untuk buat 'extension'," katanya.
Beliau berkata, hospital pakar dan hotel yang akan mula beroperasi selepas pertengahan tahun 2022 itu dijangkakan bakal memberikan impak besar kepada kawasan setempat khususnya golongan asnaf.
"Ia yang pertama seumpamanya di Malaysia. Komponen utama adalah hospital pakar selain hotel dan ruang niaga. Tidak ada seumpamanya di Malaysia dan ia akan menjadi perintis di negara ini.
"Sekiranya ia berjalan lancar dan beroperasi seperti dirancangkan, kita akan membuat yang sama di negeri lain juga," katanya.
Sementara itu, Abdul Rashid berkata, tanah wakaf tersebut adalah milik MAINJ dan melalui PIJ, pajakan kecil diberikan kepada Kencana Healthcare Sdn Bhd.
"Kami di PIJ sangat menyambut baik kerjasama ini dan kita tahu bahawa ini akan memberi impak yang sangat besar dan imej yang baik kepada pengurusan tanah wakaf.
"Dan kita tahu untuk hospital wakaf di Malaysia ini, saya rasa ini adalah perintis dan diharap mendapat kerjasama daripada semua pihak (bagi menjayakan ia)," katanya.