MELAKA TENGAH - Zoo Melaka melakar sejarah tersendiri apabila seekor zirafah betina, Mercy akan menempuh perjalanan lebih 12 jam bagi proses penukaran haiwan.
Haiwan mamalia berusia 9 tahun dan berada di Zoo Melaka sejak usianya 2 tahun itu merupakan haiwan pertukaran di antara Zoo Melaka dengan Taman Tema Lost Of Tambun, Perak.
Setiausaha Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Muhammad Shahrul Hafidz Ab Rahim berkata, haiwan yang akan diringi anggota polis dan penguat kuasa PBT tersebut akan melalui beberapa jalan utama termasuk Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) sebelum tiba di Ipoh, Perak pagi ini.
Menurutnya, sebelum proses pertukaran berkenaan Zoo Melaka telah mengambil beberapa inisiatif bagi tempoh selama sebulan untuk menjinakkan Mercy supaya haiwan itu berasa selesa serta membolehkan Mercy menyesuaikan diri di tempat baharu.
"Sebelum penukaran ini kita telah mengambil tindakan terutama dari segi aspek keselamatan sebelum Mercy melalui perjalanan yang sebenar memandangkan ia mengambil masa perjalan yang agak lama.
"Selain itu kita akan memulakan perjalanan pada waktu malam dan akan berhenti di beberapa tempat sebelum meneruskan perjalanan dan paling penting memastikan bekalan makanan dan minuman untuk Mercy mencukupi," katanya.
Muhammad Shahrul Hafidz berkata demikian kepada pemberita ketika sesi ‘Flag Off’ konvoi zirafah di Zoo Melaka, Ayer Keroh di sini malam tadi.
Hadir sama, Pengarah Zoo Melaka, Zanariah Khamis dan Pengurus Besar The Lost World Of Tambun, Nurul Nuzairi Mohd Azahari.
Tambah beliau, program pertukaran zirafah yang pertama kali itu bertujuan bagi proses pembiakan supaya dapat menghasilkan baka yang lebih baik.
Mercy yang tinggal di Zoo Melaka sejak berusia dua tahun itu antara empat zirafah yang ditempatkan di Zoo Melaka termasuk John, Rose dan Max.