KETIKA menghadiri rumah terbuka sempena Aidilfitri di Shah Alam baru-baru ini, kita terserempak dengan seorang kawan. Kami sebaya. Nak kata muda, bukanlah muda sangat. Nak kata tua pun, bukanlah muda sangat. Tapi gayanya macam orang sakit. Nak berjalan pun macam tak larat.
Rupa-rupanya dia menghidap sakit sendi tulang. Dia mengaku tidak mendapatkan rawatan di hospital, cuma makan ubat yang dibeli secara atas talian.
Katanya, rawatan di hospital mahal. Lagipun dia takut berjumpa doktor. Kita hanya menggelengkan kepala.
Kalau sudah lebih setahun makan ubat ajaib tetapi penyakit masih tidak sembuh, sudah tentu ada sesuatu yang tidak kena.
Kita nasihatkan rakan itu supaya tidak mudah terpedaya dengan produk kesihatan yang berlambak di pasaran yang menjanjikan keputusan ajaib sedangkan semuanya auta belaka.
Teringat kita kepada arwah atuk. Kalau demam atau selesema, dia takkan pergi hospital tetapi beli ubat Cap Kaki Tiga. Arwah percaya ubat Cap Kaki Tiga boleh menyembuhkan pelbagai penyakit.
Sekarang ini macam-macam cara nak melariskan produk termasuk menggunakan testimoni atau kononnya dihasilkan oleh doktor pakar. Pesakit yang terdesak untuk sembuh, terus percaya.
Sanggup menghabiskan duit membeli produk sampah. Sedangkan wang tersebut sepatutnya digunakan untuk berjumpa doktor.
Adalah lebih baik rakan itu tadi mendapatkan nasihat doktor untuk fakta mengenai penyakit dan rawatan tepat bagi tahap mereka tetapi sama ada untuk meneruskan rawatan hospital atau tidak.
Sekarang ini ‘ubat-ubat ajaib’ boleh didapati dengan mudah sama ada daripada kaunter farmasi, pasar raya, kedai kesihatan dan secara atas talian.
Nasihat kita, ‘merawat sendiri’ penyakit dan makan ubat tanpa nasihat doktor sangat bahaya dan boleh mendatangkan kesan lebih buruk sekiranya ubat yang dimakan tidak sesuai dengan diri anda.