Enam ditahan bantu kes mahasiswa dibelasah depan restoran

Iklan
Video pergaduhan tular di media sosial.(Gambar kecil: Mohd Noor)

KUANTAN - [DIKEMASKINI] Enam individu ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung insiden pergaduhan yang berlaku di hadapan sebuah restoran makanan segera di Sungai Isap di sini awal pagi semalam.

Suspek berusia 19 hingga 20 tahun itu ditahan pada hari yang sama untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Noor Yusof Ali berkata, dalam kejadian itu dua pelajar sebuah institut pengajian tinggi swasta di sini berusia 19 dan 20 tahun menjadi mangsa apabila dipukul kumpulan terbabit sehingga cedera di muka serta beberapa anggota badan lain.

Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku akibat perselisihan faham berhubung perempuan.

Iklan

"Berdasarkan siasatan awal mendapati, salah seorang mangsa (pengadu) menerima panggilan daripada seorang lelaki memperkenalkan diri sebagai bapa saudara kepada bekas tunangnya kira-kira jam 8 malam Selasa lalu bertanyakan lokasi dia berada dan ingin bertemunya.

"Rentetan itu, kira-kira jam 1 pagi semalam, semasa mangsa bersama dua rakannya berada di tempat letak kenderaan di hadapan sebuah restoran makan segera di Sungai Isap di sini, mereka didatangi sekumpulan lelaki menaiki tiga kereta,” katanya.

Iklan

Mohd Noor berkata, salah seorang daripada ahli kumpulan terbabit mencari pengadu sebelum bertindak menumbuk muka dan menendang pinggangnya.

"Kemudian seorang lelaki yang pengadu kenali bersama bersama ahli kumpulan yang lain turut memukul pengadu dan seorang kawannya.

"Pergaduhan itu kemudiannya dileraikan oleh orang ramai yang berada di lokasi berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, susulan kejadian, semua mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Kuantan dan hasil maklumat diterima pihaknya berjaya menahan suspek bagi membantu siasatan.

"Pihak polis turut merampas sebuah telefon bimbit daripada salah seorang suspek untuk siasatan.

"Hasil ujian saringan air kencing dan rekod mendapati semua suspek bebas pengaruh dadah dan tiada rekod jenayah lampau,” katanya.

Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengenal pasti sama ada kejadian tersebut turut melibatkan aktiviti gangsterisme.

Sebelum ini video pergaduhan berdurasi 27 saat itu dipercayai dirakam salah seorang pelanggan restoran berkenaan tular di media sosial dan mendapat pelbagai reaksi netizen.

ARTIKEL BERKAITAN: Mahasiswa dibelasah depan restoran makanan segera