KUANTAN - Episod tergores Pemuda Pas Perlis bersambung lagi hari ini berikutan keputusan pimpinan yang membawa pendakwah, Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu berucap dalam majlis perasmian Muktamar Pemuda Pas, semalam.
Setiausaha Pemuda Pas Perlis, Mohamad Azreen Jumri ketika berbahas menyatakan rasa terkilan kerana menganggap Muhammad Zamri bukanlah individu yang layak diberikan peluang berucap di pentas tersebut.
"Kami terkejut semalam apabila Muhammad Zamri diberi peluang untuk bercakap. Kami anggap ini satu perkara yang tak sepatutnya berlaku.
"Kami tak ada masalah daripada sudut apa yang dia cakap, tapi sikap itu yang menyebabkan kami terkilan. Mungkin bagi pimpinan tak ada masalah tapi menjadi masalah khususnya bagi kami di Perlis,” katanya ketika membahaskan ucaptama Ketua Pemuda Pas, di sini, hari ini.
Semalam, seorang perwakilan Perlis, Amirul Jufri Mat Saman ketika pembentangan laporan kewangan 2018 menyatakan rasa terguris apabila majlis perasmian menjemput Muhammad Zamri berucap bagi menyatakan solidariti kepada pendakwah warganegara India, Dr Zakir Naik.
Amirul Jufri mendakwa, Muhammad Zamri sering memburukkan anggota Jabatan Amal di Perlis. Mohamad Azreen turut mempertahankan dakwaan Amirul Jufri bahawa Muhammad Zamri sering melemparkan komen negatif terhadap Pas Perlis.
"Kami tak ada masalah dengan isu yang diutarakan oleh Muhammad Zamri. Kita bersama-sama bersolidariti dalam isu Zakir Naik... InsyaALLAH. Cuma untuk pengetahuan semua, Pas Perlis sangat terkilan dengan tindakan Muhammad Zamri. Walaupun dia berstatus sebagai seorang pendakwah, tetapi cakap tak serupa bikin, maaf cakap.
"Kami di Perlis banyak dilontarkan komen negatif oleh beliau...memfitnah Pas Perlis sebagai dalang kepada isu pemecatan imam-imam. Kami juga difitnah sebagai dalang pemberontakan kepada raja. Ini yang menjadikan kami terkilan dengan ucapan yang diberikan oleh Muhmammad Zamri. Banyak komen yang diberikan negatif kepada Pas, dia tak sebut Pas Perlis dia sebut Pas, jadi saya anggap dia kritik semua,” jelasnya.
Susulan itu, Mohamad Azreen mencadangkan pimpinan mengkaji semula jemputan yang dipilih untuk berucap supaya tidak timbul masalah.