IPOH - Kerajaan negeri dengan kerjasama Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Pusat Aspirasi Anak Perak (Pasak) dan Dewan Belia Perak merancang menubuhkan projek Bank Makanan (Food Bank) bagi membantu golongan kurang berkemampuan di negeri ini.
Exco Kesejahteraan Sosial, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat Perak Wong May Ing berkata, inisiatif berkenaan adalah hasil cadangan daripada ahli Dewan Belia Perak sempena Sidang Dewan Belia 2018 lalu.
Menurutnya, satu jawatankuasa kerja akan ditubuhkan dalam masa terdekat bagi melaksanakan segala perancangan ini.
"Projek ini adalah inisiatif peduli rakyat kerana membantu meningkatkan kesedaran bagi menyediakan makanan sekadar perlu sahaja.
"Sekali gus, ia boleh membantu pihak berkaitan seperti pasar raya, hotel untuk lebih sistematik dalam pengurusan lebihan makanan.
"Kita juga difahamkan, roti-roti yang diagihkan adalah roti-roti yang memiliki tempoh tiga hari sebelum tamat tarikh luputnya," katanya pada sidang media di sini hari ini.
May Ing berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Perasmian Pilot Projek Perak Food Bank peringkat sekolah di Sekolah Kebangsaan Manjoi.
Pada majlis berkenaan, seramai 200 murid dari SK Manjoi 1 dan 2 menerima sumbangan roti Massimo yang disampaikan oleh May Ing dan Pengurus Kawasan, FFM Marketing, Cheong Chee Leong.
Difahamkan, program berkenaan akan dilaksanakan pada setiap Khamis di sekolah-sekolah rendah di sekitar Kinta Utara dan Kinta Selatan.
Sementara itu May Ing berkata, program penyerahan roti itu telah pun bermula April lalu dan hanya melibatkan enam SJK (C).
Bagaimanapun katanya, program berkenaan dihentikan pada Mei demi menghormati bulan Ramadan.
"SK Manjoi ini adalah sekolah kebangsaan pertama yang menerima sumbangan roti ini dan sekali gus menjadi sekolah ketujuh selepas enam SJK (C), sebelum ini.
"Justeru, projek ini dilihat bakal membantu mengurangkan bebanan kos sara hidup khususnya kepada golongan isi rumah 3M (miskin, miskin tegar, mudah miskin), ibu tunggal, orang kelainan upaya (OKU), orang tua dan anak yatim di sekitar negeri," katanya.