MANILA - Pasukan keselamatan Filipina kini memantau rapat wilayah terpencil dan paling selatan di Tawi-Tawi dan Sulu selepas terdapat laporan bahawa 10 nelayan Malaysia telah diculik pada Selasa lepas oleh suspek bersenjata daripada kumpulan Abu Sayyaf di perairan Sabah yang terletak di timur Malaysia dan dibawa ke tempat persembunyian mereka di selatan Filipina, lapor agensi berita China Xinhua.
Setiausaha Pertahanan Filipina Delfin Lorenzana pada Rabu berkata tentera Filipina telah dimaklumkan mengenai perkara itu.
"Kami telah mengarahkan tentera kami agar berhati-hati," kata Lorenzana sambil menambah bahawa beliay telah memberikan arahan itu sejurus selepas menerima laporan mengenai penculikan tersebut.
(Penculik) kini dilaporkan dalam perjalanan ke Tawi-Tawi dan Jolo (bersama tebusan mereka)," katanya merujuk kepada pulau terpencil di Kepulauan Sulu.
Kolonel Gerry Besana, jurucakap Pusat Perintah Mindanao Barat Angkatan Bersenjata Filipina (AFP), berkata anggota tentera telah"melakukan pemantauan yang meluas" sejak Selasa.
Bagaimanapun, beliau berkata"belum terdapat sebarang kemas kini berdasarkan pemantauan 24 jam kami di kawasan itu."
Menurut laporan berita Malaysia, kesemua nelayan telah diculik di perairan pulau Borneo pada Selasa dan dibawa ke selatan Filipina.
Kumpulan Abu Sayyaf beroperasi di barat perairan Mindanao di selatan Filipina termasuk wilayah pulau Basilan, Kepulauan Sulu dan selatan Laut Sulu.
Menurut tentera, Basilan dan pulau terpencil seperti Sulu dan Taw-Tawi dikenali sebagai tempat persembunyian Abu Sayyaf, sebuah kumpulan pemberontak radikal di Filipina yang melakukan penculikan, pengeboman, serangan lanun dan pemenggalan kepala di barat Mindanao.
Mereka biasanya menyasarkan pelancong asing, ahli perniagaan dan nelayan bukan hanya dari Filipina tetapi juga dari Indonesia dan Malaysia serta menyembunyikan mangsa di hutan-hutan atau pulau-pulau terpencil di Filipina.
Seorang tebusan rakyat Belanda, Ewold Horn, yang ditawan sejak 2012, telah ditembak mati pada 31 Mei semasa cuba melarikan diri ketika satu operasi menyelamat yang dilancarkan pasukan keselamatan Filipina di hutan berhampiran pekan Patikul dalam wilayah Sulu.
Pihak tentera berkata Horn adalah mangsa culik terakhir yang berada dalam tahanan kumpulan itu.
Kerajaan Duterte telah membentuk satu divisyen tentera bagi memburu militan Abu Sayyaf yang dipersalah atas beberapa siri penculikan dan pengeboman di selatan rantau itu, termasuk pengeboman berganda pada 27 Jan di sebuah gereja di Jolo, Sulu yang meragut 26 nyawa dan mencederakan lebih 100 orang. - Bernama