PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan hasil dapatan Pasukan Penyiasatan Bersama (JIT) mengenai penembakan pesawat Malaysia Airlines MH17, bermotifkan politik.
Dakwa Dr Mahathir, pasukan JIT, yang diketuai penyiasat Belanda, dari awal lagi mahu menuduh Rusia dan sudah tentu sekarang mereka sudah mempunyai bukti pihak yang bersalah.
"Ini satu perkara yang tidak boleh diterima. Apa yang kita nak masa ini kita mahu bukti yang Rusia yang buat. Setakat ini hanya khabar angin," katanya pada sidang akhbar selepas berakhirnya majlis rumah terbuka Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.
Semalam, empat suspek dinamakan sebagai orang yang bertanggungjawab dalam penembakan MH17 yang berlaku 5 tahun lalu.
Suspek adalah Igor Girkin, bekas kolonel Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan Rusia; Sergey Dubinsky dan Oleg Pulatov, yang berkhidmat untuk Perkhidmatan Perisikan Tentera Rusia; dan Leonid Kharchenko, seorang bekas komander warga Ukraine.
Pendakwaraya Belanda, Fred Westerbeke pada sidang media semalam berkata, siasatan juga mendapati Rusia menyediakan pelancar peluru berpandu dan peluru berpandu BUK Telar, yang digunakan untuk menembak jatuh pesawat itu.
Pada sidang media yang sama, wakil Malaysia, Peguamcara Negara III, Mohd Hanafiah Zakaria menerima dapatan JIT itu kerana ia berdasarkan penyiasatan yang meluas dan penyelidikan undang-undang.
Pesawat Malaysian Airlines itu meletup di udara ketika terbang dari Amsterdam ke Kuala Lumpur di ruang udara timur Ukraine pada 17 Julai 2014.
Semua 298 penumpang, sebahagian besarnya rakyat Belanda serta anak kapal terbunuh.
Penumpang lain membabitkan rakyat Australian, Britain, Malaysia dan Indonesia.
Dalam perkembangan lain, ketika ditanya adakah Malaysia perlu bimbang mengenai penjualan minyak sawit ke Rusia, Dr Mahathir berkata itu satu perkara berbeza.
Jelasnya, beliau tidak boleh berbuat apa-apa sekiranya Rusia tidak mahu bekerjasama dengan Malaysia.
"Kami adalah sebuah negara kecil. Kami mahu berperang dengan Rusia dan Amerika Syarikat tetapi kami tidak mempunyai pasukan yang cukup untuk melakukannya," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN:
Empat perancang utama MH17 dikenal pasti