IPOH - Cadangan untuk membuka ruang kepada semua warganegara tanpa mengira agama bagi memberi pandangan berkaitan mata pelajaran Pendidikan Islam bukan tindakan yang wajar.
Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria berkata, ia kerana orang bukan Islam tidak memiliki kefahaman mengenai hukum dan peraturan agama Islam seperti penganutnya.
"Mereka (orang bukan Islam) akan lebih cenderung memberi pandangan berdasarkan akal dan kepentingan diri semata-mata sedangkan mengikut tradisi dan falsafah pendidikan Islam bersumberkan hukum daripada al-Quran dan sunnah serta sumber-sumber yang disepakati oleh para ulama.
"Jadi saya ingin menegaskan bahawa adalah sangat tidak wajar membuka ruang kepada semua warganegara tanpa mengira agama memberi pandangan berkaitan mata pelajaran Pendidikan Islam," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Menurut Harussani, pihaknya khuatir sekiranya penglibatan bukan Islam dibenarkan dalam cadangan penambahbaikan mata pelajaran Islam ia akan menimbulkan lebih banyak pertentangan pendapat berhubung ajaran Islam yang sebenar.
"Malah, usaha penambahbaikan ini juga tidak hanya perlu fokus kepada mata pelajaran pendidikan Islam sahaja, malah mata pelajaran yang lain seperti Bahasa Melayu, Sejarah dan lain-lain
"Ia perlu bagi penambahbaikan agar para pelajar berbilang kaum mendapat kefahaman yang maksimum sekaligus kualiti pendidikan negara dapat dipertingkatkan dan memupuk perpaduan nasional," katanya.
Harussani turut menyatakan sokongnya terhadap usaha kerajaan menambahbaik sukatan mata pelajaran Islam dan pada masa sama dia turut menegaskan bahawa usaha penambahbaikan tersebut mestilah dilakukan tanpa mengurangkan silibus mata pelajaran Pendidikan Islam yang sedia ada.
"Saya sangat menghargai usaha murni bagi menambahbaik bukan sahaja mata pelajaran Pendidikan Islam malah mata pelajaran yang lain juga, tetapi biarlah kajian dijalankan oleh ahli yang berkelayakan," katanya.
Sebelum ini, Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching mengalu-alukan semua pihak tanpa mengira kaum dan agama untuk memberi pandangan serta idea kepada pasukan khas bagi meneliti isu-isu melibatkan subjek Pendidikan Islam di Sekolah Kebangsaan.