KUALA TERENGGANU - Polis Terengganu memandang serius dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang membuat laporan polis palsu di negeri ini.
Timbalan Ketua Polis Terengganu, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, tindakan itu diambil kerana pelaku terlibat secara tidak bertanggungjawab membazirkan masa dan tenaga pegawai penyiasat selain membazirkan wang kerajaan semata-mata hendak menyiasat kes yang tidak wujud.
"Sesiapa pun boleh membuat laporan polis dan kita memang akan mengambil berat setiap laporan dibuat. Tidak semestinya apabila adanya salinan laporan polis, maka kes dilaporkan itu wujud dan benar belaka.
"Kesahihan dan kebenaran satu-satu laporan akan diketahui selepas pegawai penyiasat menyiasat lebih lanjut berkaitan apa yang dilaporkan oleh si pengadu tadi dan dari situlah kita akan mengetahui sama ada laporan dibuat benar atau rekaan semata-mata," katanya kepada pemberita dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu hari ini.
Beliau berkata, Polis Terengganu ada menerima beberapa kes palsu berkaitan jenayah samun dan ragut selain dua laporan palsu melibatkan kes culik kanak-kanak.
"Kebanyakan mereka yang membuat laporan palsu kononnya mendakwa menjadi mangsa samun dan ragut, namun selepas siasatan lanjut dijalankan rupanya kad pengenalan mereka hilang atas kecuaian diri sendiri.
"Jadi untuk mengelak daripada membayar denda, mereka mengambil jalan pintas membuat laporan polis dan kononnya setelah memiliki salinan itu, mereka dapat mengelak daripada dikenakan denda. Tindakan mereka ini memang menyusahkan polis.
"Saya ingin nasihatkan orang ramai supaya tidak membuat laporan palsu kerana mereka boleh didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan," katanya.
Allaudeen berkata, selain laporan palsu ragut dan samun, polis juga pernah menerima dua laporan palsu berhubung kes culik kanak-kanak sekolah oleh kumpulan van putih dan berita palsu ini ditularkan di laman sosial sehingga mengundang rasa takut masyarakat di luar sana.
"Pihak tidak bertanggungjawab ini kononnya bertindak menularkan salinan laporan polis yang dibuat mangsa sebagai bukti menguatkan lagi berita itu dan perkara ini mendatangkan ketakutan serta kebimbangan masyarakat terutama ibu bapa.
"Buat pengetahuan umum, memang tidak wujud kes penculikan kanak-kanak melibatkan sindiket daripada van putih seperti digembar-gemburkan di laman sosial hari ini di negeri ini," katanya.
Katanya, perbuatan itu menyusahkan semua pihak dan beliau memberi amaran supaya orang ramai lebih bertanggungjawab dengan membuat laporan yang tepat jika berlaku sesuatu keadaan membabitkan jenayah.
"Saya bukan apa, risau sekiranya berita palsu yang ditularkan itu menjadi kenyataan suatu hari nanti, pasti masyarakat sudah tidak percaya lagi," katanya.