Sabah bakal perkenal jenama minyak masak sendiri

Iklan
Gambar hiasan

KOTA KINABALU - Kerajaan Sabah akan memanfaatkan kekayaan sumber kelapa sawit di negeri itu dengan bakal memperkenalkan jenama produk minyak masak sendiri bagi melonjakkan lagi pertumbuhan ekonomi negeri.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata pengeluaran produk minyak masak Sabah itu bakal dipacu menerusi pembinaan kilang minyak masak di kawasan utama penanaman kelapa sawit iaitu Lahad Datu, Sandakan, Tawau dan Keningau yang dijangka pada tahun ini.

Iklan
Iklan

Katanya beliau akan mengumumkan jenama itu apabila semua perancangan rapi berhubung usaha pembinaan kilang, pengeluaran dan penetapan harga berjalan lancar.

"Peruntukan bagi membina satu kilang minyak masak dianggarkan menelan belanja RM5 juta. Jenama minyak masak keluaran Sabah ini akan dipromosikan kelak. Ia (akan dijual) pada harga berpatutan," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis rumah terbuka anjuran Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat Penampang di sini, hari ini.

Iklan

Mohd Shafie berkata usaha membina kilang minyak masak dan menghasilkan jenama minyak masak Sabah sendiri adalah usaha jangka panjang yang akan dipantau secara berterusan bagi mengenal pasti potensi serta permintaan produk itu di pasaran.

"Sekiranya ada permintaan dan permintaan itu meningkat, kita (kerajaan Sabah) akan menambah (kilang minyak masak),” katanya.

Iklan

Dalam perkembangan lain, Mohd Shafie berkata, kerajaan Sabah juga telah meluluskan lesen bagi pembinaan sebuah kilang perabot di Kota Marudu selepas sebuah syarikat dari China menyatakan minat untuk melabur dalam sektor perabot di negeri ini dan bergabung dengan pengusaha kilang papan di daerah berkenaan.