PUTRAJAYA - Semua pengusaha penginapan pelancongan dikecualikan daripada bayaran RM70 ketika mendaftarkan premis mereka mulai 1 Januari hingga 30 Mac tahun depan.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi, berkata setakat ini kira-kira 1,700 pengusaha premis termasuk hotel, resort, rumah tumpangan, asrama dan rumah inapan masih belum mendaftarkan penginapan mereka dengan kementerian.
"Jadi saya menyeru kepada semua pengusaha yang belum berdaftar untuk mengambil peluang ini dengan mendaftarkan premis penginapan terlebih dahulu sebelum memohon lesen perniagaan dengan pihak berkuasa tempatan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan sesi libat urus bersama lebih 300 penggiat industri di sini hari ini.
Sesi itu melibatkan pengiat industri pelancongan dan seni bagi membincangkan kajian semakan Dasar Pelancongan Negara dan Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang menentukan hala tuju industri pelancongan Malaysia hingga tahun 2030.
Menurutnya, kajian ke atas Dasar Pelancongan Negara kini dalam proses akhir untuk dimuktamadkan.
"Kementerian juga sudah membuat kajian semakan bagi Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang diformulasikan berdasarkan resolusi kongres pada tahun 1971.
"Setelah lebih 47 tahun, kementerian merasakan ini adalah masa sesuai untuk mengkaji serta merangka semula dasar berkaitan seni dan budaya,” katanya.
Mohammadin berkata, pihaknya masih dalam proses mendapat input dan maklum balas daripada pelbagai pihak bagi memperkemaskan penggubalan Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang dijangka dilancarkan pada suku ketiga tahun depan.
Dalam pada itu, pihaknya menyasarkan untuk mencapai jumlah kedatangan pelancong antarabangsa seramai 28.1 juta orang dengan menjana pendapatan sebanyak RM92.2 bilion pada tahun 2019
"Fokus utama tahun depan adalah untuk membangunkan sektor ‘Eco and Culture Tourism’, dan diharapkan sokongan serta kerjasama dapat memajukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan dan kebudayaan bertaraf dunia," katanya.
Mohammadin berkata pihaknya juga menyasarkan kedatangan pelancong seramai 30 juta orang dengan pendapatan pelancongan sebanyak RM100 bilion selaras dengan hasrat kementerian untuk melaksanakan kempen Tahun Melawat Malaysia 2020.
Sebagai strategi mencapai sasaran itu, beliau berkata kerajaan akan menyediakan geran sepadan sebanyak RM100 juta kepada syarikat swasta bagi program promosi dan pemasaran pelancongan antarabangsa untuk meningkatkan ketibaan pelancong.
"Dalam usaha membantu dan meluaskan perniagaan pengusaha kraftangan dan homestay pula, dana tabung pelancongan Perusahaan Kecil dan Sederhana bernilai RM500 juta akan disediakan oleh SME Bank bermkasud kerajaan akan memberi subsidi kadar faedah sebanyak dua peratus.
"Kerajaan juga akan calonkan lebih banyak tapak warisan yang berpotensi untuk diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO serta Malaysia diberi keutamaan untuk dipromosikan pada pameran pelancongan antarabangsa ITB Berlin, Jerman pada tahun depan, katanya. - Bernama