Pelan Induk ECER 2.0 sasar pelaburan swasta RM70 bilion

Iklan
Gambar hiasan
PELAN Induk Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) 2.0 (EMP2.0) bagi tempoh 2018 hingga 2025 yang dilancarkan hari ini bermatlamat membawa masuk pelaburan swasta baharu bernilai RM70 bilion dan mewujudkan 120,000 peluang pekerjaan.

Ia juga menyasarkan 60,000 peluang keusahawanan untuk rakyat sebagai antara matlamat utamanya, menurut kenyataan Majlis Pembangunan ECER (ECERDC) hari ini.

Bagi memacu ECER ke hadapan dalam tempoh tujuh tahun akan datang, ECERDC berkata penekanan diberikan kepada enam Inisiatif strategik iaitu meningkatkan produktiviti pekerja; mempelbagaikan asas ekonomi; memudah cara ekonomi skala; menggerakkan tenaga kerja; memanfaatkan kesalinghubungan serta menambah baik infrastruktur pengupaya seperti jalur lebar bagi teknologi maklumat dan komunikasi.

"EMP2.0 akan memacu lonjakan seterusnya pembangunan sosioekonomi ECER dalam usaha untuk merapatkan jurang pembangunan dan meningkatkan taraf kehidupan rakyat.

"Melalui penyampaian projek dan program berimpak tinggi, rakyat akan terus menerima manfaat melalui peluang inklusif dan saksama untuk meningkatkan kualiti kehidupan melalui peluang pekerjaan dan keusahawanan yang diwujudkan di wilayah ini,” kata Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Baidzawi Che Mat.

EMP2.0 dilancarkan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang juga pengerusi ECERDC, di Pejabat Perdana Menteri hari ini.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, menteri besar negeri-negeri ECER, Menteri Kewangan Lim Guan Eng dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Mengikut EMP2.0, penekanan yang lebih besar akan diberikan untuk mempercepat kesediaan ECER bagi Industri 4.0, memandangkan kepentingan platform digital dalam membentuk ekonomi dan memacu inovasi di seluruh dunia.

Bagi usaha itu, ECERDC dengan kerjasama Technische Universitat Munchen (TUM), telah menubuhkan Pusat Kecemerlangan Asia bagi Teknologi Pintar (ACES) di Cybercentre yang terletak di Taman Teknologi Pahang (PTP).

ACES, yang dijangka berperanan sebagai hab pembangunan kemahiran untuk rakyat dan perusahaan dari Malaysia dan Asia Tenggara, akan melengkapkan kumpulan bakat tempatan serta perniagaan dengan pengetahuan Industri 4.0 bagi meningkatkan kebolehpasaran dan kecekapan.

Sementara itu, dua projek pencetus perubahan iaitu Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan projek peluasan Pelabuhan Kuantan, di Pahang dijangka memudah cara tarikan pelaburan dan meningkatkan mobiliti barangan dan rakyat.

ECRL akan membuka hab pelancongan baharu dan pembangunan berorientasikan transit di sepanjang jajarannya sementara peluasan Pelabuhan Kuantan boleh menampung kemasukan kapal lebih besar sekali gus memperkukuh kedudukan ECER sebagai gerbang ke rantau Asia Pasifik.

ECERDC juga telah mengenal pasti pemacu utama baharu iaitu logistik dan perkhidmatan di bawah rangka kerja EMP2.0 untuk meningkatkan daya saing keseluruhan ECER dengan mengenal pasti dan menangani isu rantaian bekalan untuk pemacu ekonomi sedia ECER, antaranya sektor pembuatan; minyak, gas dan petrokimia; pelancongan dan perniagaan tani. - Bernama