13 murid, 2 wanita muntah, sesak nafas

Iklan
Sebahagian daripada murid yang menunjukkan simpton tersebut kini sedang mendapatkan rawatan.

PASIR GUDANG - [DIKEMASKINI] Seramai 13 murid Sekolah Agama Taman Mawar dan Sekolah Kebangsaan Pasir Gudang 4 serta dua wanita dewasa dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI) selepas muntah-muntah, loya dan pitam dipercayai akibat pencemaran udara, petang tadi.

Empat murid disahkan berada dalam zon merah, tiga murid dalam zon kuning dan lapan orang lagi dalam zon hijau termasuk dua wanita dewasa dan kesemua mangsa berusia 7 hingga 46 tahun itu masih dalam pemantauan.

Iklan
Iklan

Salah seorang wanita dewasa merupakan pekerja kantin SA Taman Mawar berusia 46 tahun manakala identiti seorang lagi wanita masih belum dikenalpasti manakala kesemua murid terlibat ialah yang berada dalam kelas di tingkat atas.

Khuzzan (dua, kiri) dan Tosrin (dua dari kanan) mendengar penerangan keadaan semasa di Sekolah Agama Taman Mawar.

Exco Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata, pemantauan kualiti udara di kawasan sekitar sekolah menunjukkan bacaan yang selamat.

Iklan

"Laporan kualiti udara selamat di kedua-kedua sekolah dengan bacaan 0 pencemaran. Jadi kita akan terus pantau untuk kenal pasti punca sebenar yang berlaku secepat mungkin.

"Untuk sekolah, kita akan pantau dari hari ini sehingga Sabtu dan apa-apa keputusan dibuat pada hari Sabtu (sama ada sekolah ditutup atau tidak)," katanya kepada pemberita ketika ditemui di SA Taman Mawar, hari ini.

Iklan

Menurutnya, panggilan kecemasan diterima melalui sistem Sistem Perkhidmatan Kecemasan Malaysia (MERS 999) pada jam 3.39 petang.

"Orang ramai diminta tidak panik, keadaan sangat terkawal. Kes ini sangat berbeza dengan peristiwa pencemaran Sungai Kim Kim.

"Saya ingatkan sesiapa yang ada simptom-simptom boleh segera dapatkan rawatan, jangan tunggu-tunggu," katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan pihak berkuasa tempatan serta Jabatan Bomba dan Penyelamat sentiasa bersedia untuk memastikan tiada lagi insiden pencemaran Sungai Kim Kim yang berulang.

Sementara Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Tosrin Jarvanthi mengumumkan Majlis Agama Islam Negeri Johor akan menyalurkan bantuan RM400 kepada setiap murid yang menerima rawatan di HSI.