Elak politiking antara parti berterusan

Iklan
Mukhriz (empat dari kiri) bersama Zamri (lima dari kiri) ketika meninjau gerai makanan dan pameran yang disediakan di majlis Rumah Terbuka Aidilfitri ADUN Suka Menanti.

ALOR SETAR - Politiking sesama parti Pakatan Harapan (PH) diharap tidak meleret dan menjadi lebih besar meskipun terdapat perbezaan pandangan.

Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengakui sudah tentu wujud perbezaan pendapat antara parti dalam beberapa isu, namun ia lebih kepada pandangan peribadi pemimpin tertentu dan bukannya pendirian parti.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kesepakatan antara parti lebih penting untuk ditonjolkan kepada rakyat berbanding perbezaan yang sedikit itu.

"Hubungan antara parti-parti komponen PH khususnya di Kedah pada tahap baik, tiada masalah pun. Cuma kadang-kadang ada kenyataan cuit-cuit biasa saja sesama kawan, bukan macam kita dengan pembangkang,” katanya, ketika ditemui pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri ADUN Suka Menanti, Zamri Yusuf di pekarangan Muzium Kedah, hari ini.

Iklan

Kebelakangan ini, isu kerusi Menteri Besar Kedah kembali diperkatakan setelah Pengerusi PKR Kedah, Datuk Johari Abdul membuat kenyataan bahawa beliau orang pertama yang akan kemukakan cadangan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menstruktur semula urus tadbir Kedah, selepas Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri.

Ia memberi gambaran seolah wujud agenda politiking dari PKR yang mahu singkirkan Mukhriz sebagai Menteri Besar Kedah.

Iklan

Pada masa sama, di peringkat nasional pula menampakkan ada gesaan percepatkan peralihan kuasa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Anwar, dan dibidas Adun Jeram, Mohd Shaid Rosli dari Bersatu Selangor agar Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail terlebih dahulu melepaskan jawatan bagi membolehkan pelantikan Timbalan Perdana Menteri baharu, seterusnya melancarkan proses peralihan kuasa.

Mukhriz bagaimanapun tidak bimbang dengan keadaan itu, sebaliknya menganggap kenyataan yang dibuat antara pemimpin dua parti itu sebagai pandangan peribadi masing-masing.

"Kenyataan yang dibuat pihak tertentu itu kita anggap minioriti, bukan pendirian rasmi parti. Mungkin ia hanya pandangan peribadi, beza pendapat memang perlu ada, dalam satu parti pun akan ada perbezaan apatah lagi antara parti,” katanya.

Menurutnya, namun pihaknya percaya ia tidak serius sehingga mampu gugat kesepaduan dalam PH yang boleh melemahkan peluang PH untuk kekalkan kedudukan sebagai kerajaan Pusat dan negeri pada PRU15.

Mengulas desakan sesetengah pihak yang mahu percepatkan peralihan kuasa Dr Mahathir kepada Anwar, Mukhriz berkata, desakan boleh datang daripada mana-mana pihak namun keputusan tetap ditentukan di peringkat tertinggi kepimpinan PH.

"Dr Mahathir jadikan amalan mesyuarat Majlis Presiden PH dipanggil sebulan sekali atau lebih jika ada hal penting untuk dibincangkan. Di forum itulah, perkara penting seperti itu dibincangkan,” katanya.