Pengawal keselamatan didakwa rogol gadis 15 tahun

Iklan
Seorang pengawal keselamatan dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Melaka selepas dituduh merogol seorang gadis bawah umur Mei lalu.
MELAKA TENGAH - Seorang pengawal keselamatan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di, sini, hari ini, atas pertuduhan merogol seorang gadis bawah umur, Mei lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Mohd Faizul Abdullah Hadi, 22, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan di hadapan Hakim Norma Ismail.

Tertuduh didakwa merogol seorang gadis berusia 15 tahun lapan bulan di sebuah hotel di Kampung Baharu Sungai Udang kira-kira jam 7.45 pagi pada 7 Mei lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebat.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Shazreen Nadia Saaban meminta mahkamah supaya tidak memberikan jaminan terhadap tertuduh selepas mengambil kira pertuduhan yang dihadapinya.

Norma kemudian tidak memberikan jaminan terhadap tertuduh dan menetapkan sebutan semula kes pada 22 Januari tahun depan.