IPOH - Penubuhan Sektretariat Pembangunan Keusahawanan Negeri Perak (Super) diyakini mampu untuk membantu golongan usahawan termasuk bakal usahawan meningkatkan keupayaan serta kapasiti perniagaan masing-masing.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, sekretariat yang berkonsepkan pusat sehenti (one stop centre) itu akan turut berperanan sebagai pusat pangakalan data bagi golongan usahawan.
Menurutnya, pusat berkenaan juga bakal menyalurkan pelbagai maklumat khususnya pelbagai inisiatif daripada kerajaan seperti pembiayaan serta pinjaman perniagaan yang disediakan oleh agensi-agensi keusahawanan di negeri ini.
"Hari ini kita rasmikan super negeri Perak, di bangunan milik PKNP yang akan menjadi pusat sehenti bagi golongan usahawan dan agensi kerajaan.
"Mereka boleh lakukan 'bussiness matching' di sini di mana sebelum ini usahawan terpaksa naik tangga ke tangga, pintu ke pintu untuk dapatkan pembelaan, bantuan dan sebagainya.
"Tetapi dengan adanya pusat sehenti ini, usahawan hanya perlu datang ke sini dan beberapa agensi akan berikan perkhidmatan mereka melalui sekretariat ini," katanya di sini hari ini.
Ahmad Faizal berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Pelancaran Sekretariat Keusahawanan Negeri Perak (Super) di Dewan Pembangunan Usahawan, Pusat Pembangunan Usahawan (PPU), Bandar Meru Raya hari ini.
Hadir sama, Exco Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan Perak, Asmuni Awi, Setiausaha Kerajaan Negeri, Zainal Azman Abu Seman dan Ketua Pegawai Eskekutif, Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP), Mohd Ariff Yeop Ishak.
Difahamkan sekretariat berkenaan melibatkan Yayasan Perak, PKNP serta Unit Perancang Ekonomi Negeri yang mewakili kerajaan negeri manakala SME Corp, Majlis Amanah Rakyat, Perbadanan Usahawan Nasional Berhad dan Tekun Nasional bagi mewakili kerajaan Persekutuan.
Tambah Ahmad Faizal, kerajaan negeri juga telah menyediakan peruntukan berjumlah RM5 juta dalam Bajet 2019, khusus untuk membantu golongan usahawan.
Sementara itu Ahmad Faizal berkata, kewujudan pusat sehenti ini akan membantu ramai golongan usahawan di negeri ini.
Malah katanya, dia turut berbangga apabila mendapat melihat usahawan kini bukan hanya boleh bersiang di peringkat Malaysia tetapi mampu ke pasaran global.
"Saya bangga dapat lihat usahawan bersaing dalam pasaran luar negeri dan bukan sahaja di peringkat negara semata-mata.
"Selain 'bussiness matching' dalam kalanagan usahawan sesama sendiri, ia boleh bantu perbesarkan modal antara satu sama lain.
"Sebagai contoh, ada kemungkinan kita tak mempunyai daya saing yang tinggi dalam sesuatu perkara.
"Antaranya, hari segi pemasaran peringkat global, mungkin kita ada sahabat kita yang mempunyai produk lain yang telah pun menembusi pasaran yang lebih besar," katanya.