PUTRAJAYA - Insiden membabitkan 15 pelajar Sekolah Agama Taman Mawar di Pasir Gudang, Johor, yang mengalami kesukaran bernafas dan muntah-muntah, kemungkinan disebabkan gas beracun, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Bercakap pada sidang media di kementeriannya di sini hari ini, beliau berkata Kementerian Kesihatan menyedari kejadian itu dan akan memantau keadaan dengan teliti, sambil menambah ‘segala-galanya dalam kawalan’.
Iklan
Iklan
"Simptom itu kelihatan seperti kemungkinan gas beracun atau gas organik yang mudah meruap sama seperti insiden di Sungai Kim Kim,” katanya dan menambah kementerian itu telah berhubung dengan Pengarah Jabatan Kesihatan Johor Dr Selahudden Abd Aziz berhubung perkara itu.
Ditanya jika ada pengumuman tentang penutupan sekolah, Dr Dzulkefly berkata adalah terlalu awal untuk membuat keputusan.
"Saya akan melihat maklumat...jenis ketoksikan...tahap pendedahan dan ketoksikan yang perlu dipertimbangkan.
"Apa yang penting Jabatan Kesihatan negeri Johor bekerja dengan sangat tekun. Mereka telah dimaklumkan dan mereka kini berada di lapangan untuk menangani perkara ini,” katanya.
Pada Mac, pencemaran toksik di Sungai Kim Kim menyebabkan lebih 4,000 orang jatuh sakit dan menyebabkan penutupan 111 sekolah di daerah Pasir Gudang. - Bernama