KUANTAN - Pas menolak sebarang pendekatan ekstrem yang boleh memecahbelahkan penyatuan pelbagai kaum termasuk etnik di Sabah dan Sarawak.
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, usaha memelihara perpaduan akan terus dilaksanakan oleh parti Islam itu bagi mengelak perpecahan daripada berlaku.
Iklan
Iklan
"Kita perlu menolak sebarang usaha untuk memisahkan penyatuan dan mengambil iktibar dengan apa yang berlaku di Selatan Sudan serta Timor-Timur yang lebih malang nasibnya selepas berpisah.
"Jadi, Pas Sabah dan Sarawak berperanan untuk memimpin perpaduan, mewakili suara umat Islam di tengah kemajmukan kaum dan etnik melalui pendekatan dialog serta aktiviti kebajikan supaya dapat membuka lembaran baru kerjasama politik yang mencerminkan wajah Malaysia harmoni,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar pada Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-65 di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Pahang (Sukpa) di Indera Mahkota hari ini.
Abdul Hadi berkata, Pas juga komited untuk menjaga kebajikan rakyat bahan dan masyarakat luar bandar khususnya nasib nelayan, petani, peneroka Felda dan peniaga kecil yang berdepan dengan kepayahan hidup.
Jelasnya, segmen penting ini perlu terus didekati dengan aktiviti kebajikan, pendidikan dan penjanaan ekonomi setempat supaya dapat meningkatkan taraf hidup mereka.