KUALA LUMPUR – Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO belum memutuskan sebarang perkara khusus berkenaan cadangan pindaan perlembagaan parti yang dijangka dibuat pada perhimpunan agung khas akhir November ini, kata Setiausaha Agung, Annuar Musa.
Annuar menegaskan sebarang kenyataan yang merujuk kepada pandangan spesifik adalah bersifat spekulatif dan pra-matang (premature) serta tidak menggambarkan perkara sebenar.
"Ini bertujuan memperkemaskan lagi UMNO sesuai dengan tuntutan semasa.
"Bagaimanapun proses ini masih di peringkat awal, iaitu mengutip pandangan dan syor akar umbi dan sayap-sayap parti oleh satu jawatankuasa yang dipengerusikan oleh salah seorang Naib Presiden UMNO,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.
Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata, syor-syor tersebut terlebih dahulu akan dibincangkan dan diteliti oleh MKT, dijangka penghujung bulan ini.
"Ketika ini, MKT belum memutuskan sebarang perkara spesifik berhubung pindaan ini.
"Sebarang cadangan MKT akan dibawa untuk ditaklimatkan kepada akar umbi sebelum ia dibentangkan di Perhimpunan Agung Khas nanti,” katanya.
Sebelum ini, timbul spekulasi mendakwa UMNO akan meminda fasal 9.9 untuk mengetepikan pemimpin tertentu.
Jika cadangan berkenaan diterima, ia boleh membawa kepada pemecatan jawatan beberapa pemimpin kanan UMNO termasuk Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Susulan itu pada Mei lalu, Annuar menjelaskan tiada kata putus mengenai cadangan agar Perlembagaan UMNO dipinda bagi pemimpin yang didakwa di mahkamah
Biarpun Annuar mengesahkan ada menerima cadangan pindaan perlembagaan parti itu, namun masih tiada kata putus dibuat kerana perkara itu masih di peringkat pengesyoran.