SINGAPURA - Walaupun dinamakan antara bandar paling mahal untuk didiami di dunia, Singapura kekal menjadi antara destinasi percutian popular yang menarik pelancong dari serata dunia.
Keindahan kota metropolitan yang dipisahkan dari Malaysia dengan Selat Johor di utara dan Kepulauan Riau Indonesia dengan Selat Singapura di selatan itu sememangnya cukup memukau.
Lebih menarik, beberapa tarikan pelancongan baharu menjadi tambah nilai bagi kunjungan ke negara yang dihuni 5.6 juta rakyatnya.
Kunjungan penulis ke Singapura atas jemputan Poto Travel & Tours dan Lembaga Pelancongan Singapura baru-baru ini memberikan pengalaman berbeza namun mengujakan.
Lari daripada kebiasaan, penulis tidak dibawa melihat panorama indah Merlion Park atau meneroka kota keriangan Universal Studio Singapore (USS) tetapi menikmati keindahan ‘permata’ yang kini dibuka kepada umum.
Kompleks bernilai RM5.17 bilion itu terletak di bekas tapak letak kereta terbuka di hadapan Terminal 1, Lapangan Terbang Changi.
Berkeluasan 135,700 meter persegi dan digelar hab gaya hidup, Jewel dihubungkan ke dewan ketibaan Terminal 1 dan ke Terminal 2 serta 3 melalui jambatan pejalan kaki berhawa dingin yang dilengkapi travelator.
Terdapat 280 kedai serta restoran baharu berkongsi kemudahan pelbagai guna di premis 10 tingkat, lima di atas dan lima di bawah tanah berkenaan.
Keindahan hutan buatan
Keindahan hutan buatan setinggi lima tingkat yang dihiasi kira-kira 3,000 pokok dan tumbuhan dari Australia, Brazil, China, Malaysia, Thailand serta Amerika Syarikat memukau pandangan penulis.
Menyejukkan dan menyegarkan mata memandang, alam semulajadi menjadi elemen penting serta daya penarik kepada pelancong untuk menjejakkan kaki ke Jewel.
Penulis terpegun melihat tarikan terbaru itu yang mendapat inspirasi daripada ‘City in a Garden’ Singapura dan direka oleh arkitek, Moshe Safdie itu.
Penulis turut berpeluang menikmati kemudahan Changi Lounge yang disediakan khusus untuk penumpang kapal persiaran antaranya Genting Dream.
Penumpang boleh terus mendaftar masuk tanpa melakukan urusan itu di The Marina Bay Cruise Centre Singapore.
Sambil menunggu waktu pelayaran, penumpang boleh beristirahat sebelum membeli-belah dan menikmati deruman pancuran The Rain Vortex.
Changi Lounge yang menawarkan keselesaan kepada pembeli pakej ditawarkan ejen pelancongan itu boleh memuatkan 150 orang pada satu-satu masa.
Air terjun tertutup tertinggi dunia
Air terjun dalam bangunan tertinggi di dunia dikenali sebagai The Rain Vortex setinggi lebih 40 meter kini dibuka kepada umum di Jewel.
Tingkat atas The Rain Vortex dikelilingi taman kanopi yang membolehkan pengunjung berjalan 24 meter di atas tanah sambil melihat pemandangan manakala di bawah ia dikelilingi hutan buatan yang dipanggil Forest Valley.
Persembahan lampu dan bunyi pada sebelah malam menambahkan lagi keunikan air terjun yang memukau pandangan itu.
Tidak sah kunjungan ke Jewel jika tidak merakamkan gambar kenangan atau berswafoto di The Rain Vortex.
Studio Pengalaman Changi juga merupakan antara daya tarikan baharu yang amat menarik di situ. Pengunjung dibawa menjelajah sejarah dan operasi Lapangan Terbang Changi menggunakan sistem teknologi yang pertama kali digunakan di Asia.
Penerokaan Jewel seolah-olah pembuka tirai kepada eksplorasi yang lebih menarik dan memukau pandangan di Kota Singa.
Pelancaran kompleks ikonik itu dikatakan akan mengukuhkan lagi kedudukan Changi sebagai ‘lapangan terbang terbaik di dunia’.
Sebanyak 26 syarikat penerbangan termasuk Singapore Airlines menawarkan khidmat daftar masuk awal di Jewel.