Lelaki ditahan aktif jual air ketum sekitar Hilir Perak

Iklan
Mohd Marzukhi (tengah) menunjukkan air dan daun ketum yang berjaya dirampas daripada dua lelaki sekitar Chenderong Balai di sini hari ini.

TELUK INTAN - Kegiatan memproses daun ketum yang didalangi seorang lelaki sejak enam bulan lalu terbongkar selepas suspek ditahan di sebuah rumah di Chenderong Balai, di sini kelmarin.

Serbuan kira-kira jam 6.15 petang itu adalah hasil risikan selepas suspek berusia 28 tahun itu didapati aktif menjual air ketum sekitar daerah Hilir Perak.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar berkata, sepasukan 11 anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah dan Balai Polis Labu Kubong bertindak menyerbu sebuah bangsal yang dijadikan 'port' memproses daun ketum.

"Ketika serbuan, suspek sedang leka merebus daun ketum dalam satu periuk besar dan pemeriksaan mendapati suspek turut menanam pokok ketum di sekitar rumahnya.

Iklan

"Polis merampas 126 botol dan 65 peket air ketum dengan jumlah keseluruhan 222.6 liter dirampas bersama 30kg daun ketum serta peralatan memasak," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak, di sini hari ini.

Iklan

Menurutnya, hasil siasatan mendapati, suspek yang juga seorang penganggur memproses daun ketum setelah mempunyai permintaan.

"Suspek menjadikan kegiatan itu sumber pendapatan telah melakukan penjualan terus kepada pelanggan dengan harga antara RM3 hingga RM10.

"Dia yang tidak mempunyai rekod lampau direman selama empat hari untuk membantu siasatan," katanya.

Sementara itu, Mohd Marzukhi berkata, polis telah menahan seorang lelaki berusia 29 tahun yang menunggang motosikal dengan membawa 13kg daun ketum di kawasan sama, Selasa lalu.

"Hasil pemeriksaan turut menemui sepeket dadah dipercayai methamphetamine seberat 0.4gram bernilai RM60.

"Pemeriksaan lanjut mendapati suspek positif dadah dan motosikal jenis Honda EX5 turut disita. Suspek direman tiga hari untuk siasatan lanjut," katanya.

Katanya, nilai keseluruhan rampasan adalah RM4,716 dan kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.