Kerajaan Pulau Pinang hormati garis panduan hukum Islam

Iklan
Kerja menanda lot di Masjid Jamek Sungai Nibong yang dikesan orang awam yang tular di media sosial.- Foto ihsan Penang Kini

GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang akan sentiasa menghormati setiap garis panduan hukum hakam Islam dengan merujuk kepada keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang sebelum membuat keputusan rasmi berhubung cadangan jajaran Transit Aliran Ringan (LRT) Bayan Lepas.

Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow berkata, jajaran LRT Bayan Lepas masih berada di peringkat kajian dan lawatan tapak di Masjid Jamek Sungai Nibong Besar hanya sebahagian daripada peninjauan awal.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kerajaan negeri juga akan mematuhi keputusan dan syarat yang tertakluk di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan melalui Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) berhubung Skim Rel Kereta Api.

"Setiap keputusan dibuat berhubung projek ini di kawasan Masjid Jamek Sungai Nibong, kerajaan negeri akan merujuk kepada keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang terlebih dahulu sebelum membuat keputusan. Bagaimanapun, cadangan jajaran ini masih dalam pertimbangan, belum diluluskan.

Iklan

"Permohonan pun masih dipertimbangkan APAD dan sebagai pemohon kerajaan negeri akan menghormati semua yang ditetapkan. Projek ini akan bermula sekiranya APAD memberi kelulusan, kita memohon sahaja," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Kon Yeow berkata, jajaran di kawasan masjid tersebut adalah cadangan daripada APAD selepas meneliti cadangan yang dibuat kerajaan negeri.

Iklan

"Kerajaan negeri akan mengambil tindakan untuk mematuhi ulasan APAD namun ia masih tertakluk dengan keputusan APAD. Setelah APAD memberi kelulusan bersyarat, hebahan awam (public display) perlu diadakan selama tiga bulan sebelum Skim Rel Kereta Api dimuktamadkan.

"Oleh demikian, masih ada ruang untuk orang memberi maklum balas mengenai jajaran ini. APAD juga akan melihat semua komen dari orang awam sebelum keputusan yang sepatutnya dibuat," katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri akan memastikan semua sesi penglibatan orang awam bersama pihak berkepentingan terus menjadi keutamaan serta mengambil langkah sewajarnya demi menjaga kesejahteraan rakyat.

"Saya berharap orang awam tidak mempercayai maklumat tidak sahih di media sosial berhubung dakwaan jajaran LRT Bayan Lepas yang akan menjejaskan kawasan masjid dan tanah wakaf perkuburan di Masjid Jamek Sungai Nibong Besar di sini.

"Jangan terpengaruh dengan sebaran tidak sahih memandangkan kerajaan negeri sedang berusaha untuk membina negeri yang mampan, inklusif dan mengambil kira semua keperluan rakyat sejajar dengan visi dan misi Pulau Pinang 2030," katanya.

Terdahulu, tular di media sosial berhubung dakwaan terdapat kerja menanda lot oleh pihak tertentu di kawasan tanah perkuburan Masjid Jamek Sungai Nibong Besar.

Selain itu, ada dakwaan mengatakan kerja menanda itu adalah sebahagian kerja awal dalam projek jajaran LRT Bayan Lepas yang bakal menjejaskan kawasan masjid dan tanah wakaf perkuburan di masjid berkenaan.

Dakwaan itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan orang Islam terutamanya penduduk di sekitar kawasan tersebut Masjid Jamek Sungai Nibong Besar.