BOTA - Jentera serangan Perak perlu memanfaatkan peluang di hadapan gawang lawan bagi meledak jaringan pada aksi separuh akhir pertama Shopee Piala FA di Stadium Darulmakmur Kuantan, malam ini.
Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, biarpun menjaringkan tiga gol ketika menewaskan Terengganu pada aksi Liga Super di Stadium Perak kelmarin, jentera serangan skuad The Bos Gaurus itu dilihat banyak terlepas peluang keemasan untuk menjaringkan gol.
Justeru menurutnya, keadaan sedemikian perlu diberikan perhatian agar jentera serangan pasukan dapat meledak lebih banyak jaringan selepas ini.
"Saya lihat aksi di posisi serangan agak tumpul, tetapi kehadiran dua pemain baharu, Ronaldo dan Careca, nampak posisi serangan tambah baik. Namun mereka perlu ambil peluang untuk menjaringkan gol selepas ini.
"Apa pun seperti biasa saya mengharapkan pemain dapat tunjukkan prestasi yang terbaik kerana menang atau kalah pada saya adalah secondary, dalam apa juga sukan saya hanya mengharapkan yang terbaik. Kalau kita berjaya, Alhamdulillah.
"Jika tidak berjaya, kita mesti belajar daripada kesilapan dan berusaha untuk mencapai kejayaan," katanya, di sini hari ini.
Sementara itu Ahmad Faizal berharap agar penyokong Perak yang berkunjung ke Stadium Darulmakmur dapat menjaga disiplin masing-masing.
Katanya, ketika memberikan sokongan kepada pasukan Perak, janganlah sehingga menimbulkan rasa tidak senang kepada penyokong lawan.
"Anggaplah ini satu permainan rakyat yang kita semua minat. Jagalah disiplin masing-masing.
"Semoga bola sepak di Malaysia dapat dipertontonkan dan memberikan hiburan kepada orang ramai tanpa sebarang masalah," katanya.