Peguam Negara mohon kes 1MDB ditangguh, beri laluan kes SRC selesai

Iklan
Tommy Thomas

KUALA LUMPUR - Pihak pendakwaan hari ini memohon satu lagi penangguhan perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dihadapi oleh Datuk Seri Najib Tun Razak yang ditetapkan sebelum ini oleh Mahkamah Tinggi.

Peguam Negara, Tommy Thomas, memaklumkan kepada Hakim Mahkamah Tinggi, Colin Lawrence Sequerah bahawa perbicaraan kes Najib membabitkan SRC International Sdn Bhd yang berlangsung ketika ini tidak dapat diselesaikan sebelum 15 Ogos ini.

Iklan
Iklan

Sebelum ini Sequerah menetapkan perbicaraan kes 1MDB pada 19 dan 29 Ogos ini, sepanjang bulan September dan Oktober kecuali hari Jumaat dan dua minggu pertama November ini.

Ini adalah kali ketiga pihak pendakwaan memohon penangguhan bagi memberi laluan untuk kes SRC diselesaikan terlebih dahulu.

Iklan

"Tidak ada jalan untuk perbicaraan SRC dapat diselesaikan sebelum 15 Ogos...kami sudah memanggil 42 saksi untuk beri keterangan dan menjangka 25 lagi saksi akan dipanggil selepas ini. Oleh itu, kami ingin memohon bulan Ogos dan September dilapangkan bagi kes 1MDB."Perbicaraan SRC, menjadi keutamaan, perlu selesai sebelum perbicaraan kedua (1MDB). Jika boleh, kami mencadangkan perbicaraan 1MDB bermula 1 Oktober ini supaya ia akan memberikan anda lebih banyak masa untuk menjadualkan semula kes-kes lain,” kata Thomas.

Hakim Sequerah bertanya sama ada pendakwaan dalam kes SRC dan 1MDB membabitkan pasukan yang sama dan Thomas menjawab bahawa ia adalah kumpulan berbeza tetapi pihak pembelaan adalah sama.

Iklan

"Tertuduh tidak boleh dijangka berada di dua mahkamah berasingan pada masa yang sama,” kata Thomas sambil menambah pihak pembelaan turut bersetuju dengan permohonan pendakwaan untuk perbicaraan kes 1MDB dilapangkan kepada tarikh yang lain.

Sequerah kemudian menetapkan 15 Julai ini untuk pengurusan kes untuk pihak-pihak berkenaan mengemaskini status perbicaraan kes SRC sebelum memutuskan perkara itu.

Najib menghadapi empat tuduhan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan 21 tuduhan pengubahan wang wang membabitkan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion.

Ahli Parlimen berusia 66 tahun itu didakwa melakukan kesalahan itu di Amislamic Bank Bhd, caswangan Jalan Raja Chulan, di sini, antara 2011 dan 2014.

Bekas perdana itu itu turut menghadapi tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC berjumlah RM42 juta. - Bernama