KUALA TERENGGANU - Bantuan Guaman Asnaf Ar-Riqb diperkenalkan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) dan Persatuan Peguam Syarie Terengganu (PPST) sejak tahun lalu bagi memberi khidmat guaman secara percuma kepada wanita asnaf.
Presiden PPST, Fazru Anuar Yusof berkata, bantuan disediakan membabitkan empat jenis kes iaitu nafkah isteri, nafkah anak, penceraian secara ta'liq dan penceraian secara fasakh.
"Pemohon perlu berpendapatan RM1,000 ke bawah, kes yang belum difailkan di Mahkamah Syariah dan syarat-syarat lain ditetapkan PPST secara percuma.
"Buat masa ini, kita mengendalikan empat kes ini sahaja kerana kos guaman yang tinggi menjadi antara punca golongan wanita tidak menuntut hak mereka dan anak di Mahkamah Syariah sekiranya ditinggalkan suami sama ada melalui penceraian atau digantung tidak bertali," katanya.
Menurutnya, kebiasaannya bayaran sebanyak RM500 dikenakan untuk membuka fail di Pusat Bantuan Guaman dan ia tidak termasuk kos kehadiran peguam ke mahkamah.
"Bagaimanapun, di Jabatan Bantuan Guaman bayaran ditetapkan mengikut kelayakan. Jika mendapat khidmat guaman swasta pula, kos membuka fail sekurang-kurangnya RM1,000 namun.
"Tetapi, melalui bantuan Asnaf Ar-Riqb, kos guaman adalah percuma bagi mereka yang layak," katanya.
Fazru Anuar berkata, sejak dilaksanakan awal tahun lalu, sebanyak 22 kes sudah difailkan dan sedang dalam perbicaraan di Mahkamah Syariah di negeri ini.
"Ini antara usaha kita membantu golongan yang memerlukan untuk mendapat pembelaan yang sewajarnya selepas berpisah dengan bekas suami," katanya.