YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mencuri tumpuan pelanggan di sebuah restoran makanan segera di Temerloh, apabila memasuki premis itu sebelum dilihat beratur memesan makanan di kaunter.
Berdasarkan beberapa keping gambar yang dimuat naik di laman sosial Instagram (IG) istana_negara, Al Sultan Abdullah kelihatan bersama beberapa pegawai pengiring serta Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Dr Salehuddin Ishak sedang memesan hidangan Ayam Goreng Kentucky (KFC).
Menurut keterangan gambar di IG, baginda menikmati santapan tengah hari itu sebaik selesai menunaikan solat Jumaat di bandar Temerloh.
Difahamkan, Tuanku yang lengkap berbaju Melayu serta bersongket kuning kelihatan memilih menu ayam goreng bersama kentang goreng sebelum bersantap di dalam restoran berkenaan.
Tindakan spontan baginda turut menarik perhatian pelanggan dan kakitangan restoran berkenaan yang pastinya teruja melihat Al-Sultan Abdullah mengetepikan sedikit protokol pada diri baginda untuk beratur membeli sendiri hidangan di restoran makanan segera itu.
Rata-rata pengguna IG meninggalkan komen di ruangan gambar dengan memuji apa yang dilakukan baginda serta menyifatkan Al-Sultan Abdullah sebagai sultan berjiwa rakyat.
"Mesti berdebar kakitangan dekat kaunter itu," tulis dhimas.food
"Sempoi betul Agong... Beratur macam rakyat biasa... Daulat Tuanku," tulis deen_janggut.
"Raja rakyat berpisah tiada”. Perkataan yg sering disebut oleh Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah," tulis aimanismail77.
"Agong berjiwakan rakyat ni...," tulis itshazim_12
Terdahulu, baginda bersama isteri Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mencemar duli melawat mangsa ribut di Kampung Haji Ali, di Temerloh.
Baginda turut berkenan mengurniakan sumbangan wang tunai kepada 74 keluarga yang terjejas dalam kejadian itu.