'Bau busuk macam sampah'

Iklan
Alysha Qistina Aidi Rafizul dan Aidi Rafizul Idrus (kanan)

PASIR GUDANG -"Bau sampah terlalu kuat membuatkan saya dan kawan-kawan terasa sakit kepala,” kata seorang pelajar yang dikesan turut mengalami gangguan kesihatan dalam insiden pencemaran udara di Sekolah Agama Taman Mawar di sini.

Menurut Alysha Qistina Aidi Rafizul, 10, ketika kejadian dia dan rakannya baru memulakan sesi sekolah agama dan berada di kelas yang terletak di tingkat empat bangunan sekolah berkenaan.

Iklan
Iklan

"Masa kejadian itu, apa yang saya ingat ialah bau yang busuk, macam sampah. Masa terbau itu memang terus buat saya sakit kepala dan terus mengadu kepada cikgu.

"Ketika itu, dah mula kelam kabut sikit, banyak murid lain pun terbau benda yang sama. Bau menjadi semakin kuat sehingga saya sesak nafas,” katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di Taman Kota Masai di sini hari ini.

Iklan

Susulan kejadian itu, Alysha Qistina turut dibawa ke Hospital Sultan Ismail untuk mendapatkan rawatan pernafasan sebelum dibenarkan pulang kira-kira jam 9.30 malam.

Bapanya, Aidi Rafizul Idrus, 44, berkata, dia terkejut apabila menerima berita mengenai kejadian itu apatah lagi ini merupakan pengalaman keduanya berdepan situasi pencemaran udara berkenaan.

Iklan

"Bila dengar kena keracunan gas macam itu, saya memang tidak tunggu lama dan terus ke sekolahnya. Ketika sampai memang dah nampak jentera bomba ada selain anak saya juga sudah ditempatkan untuk menerima rawatan.

"Kalau ikut ini lebih seriuslah, sebab sebelum ini masa pencemaran Sungai Kim Kim saya sempat ambil dia awal, ini sampai ke hospital, risau juga dengan keadaan ini,” katanya.

Aidi Rafizul yang juga kakitangan awam berharap pihak terbabit dapat memberi jaminan supaya kejadian malang seperti yang berlaku Mac lalu tidak berulang.

"Perasaan risau itu memang ada, saya harap pihak yang terlibat dapat memberi pendedahan awal kepada sekolah, sebab bila jadi jadi macam ini semua kelam kabut dan panik.

"Sekiranya ada pendedahan awal, mereka ini lebih bersedia dan tahu apa yang perlu dilakukan, secara tidak langsung keadaan akan lebih mudah dikawal,” katanya.