MCA Perak persoal referendum Pasar Pasir Pinji

Iklan
Guo Nan (duduk, tengah) bersama penduduk setempat dan warga Ipoh yang tidak setuju dengan cadangan referendum tersebut.

IPOH - MCA Perak mempersoalkan kewajaran referendum bagi pembinaan semula Pasar Pasir Pinji yang diumumkan Exco Kerajaan Perak, Howard Lee.

Ketua Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awamnya, Low Guo Nan berkata, referendum yang diadakan esok bukan sesuatu yang patut dibanggakan oleh warga Ipoh kerana tindakan itu tidak diperakukan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Iklan
Iklan

Dia berkata, tindakan mengadakan referendum itu dilihat hanya mempergunakan jentera kerajaan untuk kepentingan peribadi pihak tertentu.

"Menurut ADUN DAP kawasan tersebut, sebanyak lima sesi perjumpaan dan perbincangan telah diadakan malah sebanyak RM8 juta peruntukan telah diluluskan.

Iklan

"Jadi, kenapa nak buat lagi referandum? Tidakah itu membazirkan masa, menyalahgunakan peralatan serta tenaga kerja Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan duit rakyat bagi mengendalikan pengundian tersebut.

"Saya fikir individu berkenaan ingin memperalatkan referendum yang melibatkan pengundian daripada seluruh warga Ipoh untuk menafikan suara individu yang tidak bersetuju dengan pembinaan semula pasar itu," katanya kepada pemberita di Wisma MCA Perak, di sini hari ini.

Iklan

Guo Nan berkata, pihaknya difahamkan dalam sesi rundingan sebelum ini kebanyakan peniaga di dalam Pasar Pasir Pinji tidak bersetuju dengan pembinaan tersebut.

Menurutnya, wakil rakyat kawasan itu harus lebih bertanggungjawab mencari jalan penyelesaian terbaik untuk semua pihak dan bukan bertindak sendiri dengan mengadakan referandum bagi menutup suara-suara yang tidak bersetuju terhadap pembinaan semula pasar tersebut.

"Persoalan kami, adakah referendum sedemikian sah di sisi undang-undang atau ia hanya diadakan sesuka hati? Mungkinkah ini cara untuk tangani perbezaan suara di antara peniaga di Pasar Pasir Pinji?

"Berapa pula kos yang perlu dibayar untuk referendum ini dan siapa akan tanggung kos percetakan tiket undi, tuntutan overtime tenaga kerja anggota MBI dan sebagainya?," katanya.

Sementara itu, Guo Nan berkata, pihaknya telah memanjangkan aduan mengenai isu referendum itu kepada Biro Pengaduan Awam untuk tindakan sewajarnya.

Menurutnya, tindakan mengadakan referendum tidak perlu diadakan kerana ia hanya menyusah dan membazirkan duit rakyat.

Pada 17 Jun lalu, Howard bersama Ahli Parlimen Ipoh Timur mengumumkan bahawa satu referendum akan diadakan selama dua hari bermula esok bagi mendapatkan suara rakyat sama ada Pasar Pasir Pinji perlu dibina semula atau sebaliknya.

Bagaimanapun semalam, Ahmad Faizal memaklumkan Kerajaan Perak tidak pernah menjadikan referendum sebagai satu prosedur operasi standard (SOP) dalam menentukan pelaksanaan projek pembangunan di negeri ini.