Kematian Adib: Peguam Negara perlu bertindak segera

Iklan

KUALA LUMPUR - Peguam Negara, Tommy Thomas didesak agar peka dengan gesaan akar umbi yang mahu kes kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim diambil tindakan pendakwaan segera.

Ketua Wanita Umno, Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, kegagalan Thomas berbuat demikian hanya akan menyebabkan kredibiliti kerajaan PH terjejas dan bertambah buruk di mata rakyat.

Iklan
Iklan

"Peguam Negara perlu bertindak secara adil dan dalam kes kematian Muhammad Adib. Seluruh rakyat Malaysia mahu melihat sistem perundangan negara serta institusi kehakiman benar-benar ditegakkan.

"Pada masa sama, kerajaan PH sering mencanangkan slogan rule of law. Justeru, tidak ada alasan lagi bagi Jabatan Peguam Negara untuk melengah-lengahkan pendakwaan kes kematian Muhammad Adib,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Iklan

Ahli Parlimen Parit Sulong itu mendakwa, tindakan Thomas melengah-lengahkan pendakwaan terhadap mereka yang dipercayai bertanggungjawab menyebabkan kematian Muhammad Adib disifatkan sebagai menafikan hak dan keadilan mangsa.

"Rakyat sedang 'tunggu dan lihat' adakah Thomas berani melaksanakan tugasnya tanpa tunduk kepada mana-mana tekanan atau campurtangan politik,” katanya.

Iklan

Pada 27 November lalu, Muhammad Adib parah diserang dan dipukul ketika insiden di Kuil Sri Maha Mariamman.

Muhammad Adib disahkan meninggal dunia pada pukul 9.41 malam di Institut Jantung Negara (IJN) pada 17 Disember lalu.