KUALA LANGAT - Majlis Daerah Kuala Langat(MDKL) sentiasa mematuhi arahan dan garis panduan yang dikeluarkan kerajaan negeri atau titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Yang Dipertua MDKL, Mohamad Zain A Hamid berkata, apa dilakukan pihaknya sentiasa mengikut apa yang diselaraskan kerajaan negeri dan tidak sesekali membelakangi titah Sultan.
"Merujuk kepada laporan sebuah media tempatan bertajuk Ingkari Titah Sultan Selangor? dan bertajuk EXCO arah tidak guna Bahasa Melayu, Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) ingin menegaskan perkara tersebut adalah amat tidak menepati dan menggambarkan situasi yang sebenar serta pendirian MDKL," katanya.
Beliau berkata demikian pada media selepas Majlis Jamuan Hari Raya Majlis Daerah Kuala Langat di sini hari ini.
Menurutnya, MDKL mengemukakan permohonan penukaran papan tanda taman dan jalan di Kampung Baharu Tanjung Sepat pada tahun 2016.
"Berdasarkan permohonan tersebut penukaran papan tanda taman dan jalan diperoleh dengan menggunakan dwi bahasa.
"Hal ini kerana, penduduk sekitar kawasan tersebut mempunyai majoriti 90 peratus penduduk berbangsa Cina," katanya.
Menurutnya, papan tanda jalan dan taman yang dibuat oleh MDKL mengekalkan penggunaan Bahasa Melayu lebih besar dan penggunaan Bahasa Cina adalah lebih kecil.
"MDKL tidak berniat untuk ingkar titah Sultan Selangor kerana papan tanda berkenaan ditukar sejak tahun 2016 lagi.
"MDKL juga akan sentiasa mematuhi arahan daripada pihak berkuasa negeri dari semasa ke semasa," katanya.
Tambahnya, pihaknya juga meminta kepada orang ramai agar menyelidiki tentang isu ini sebenar-benarnya terlebih dahulu.
"Saya berasa amat kesal dengan apa yang berlaku ini dan saya tegaskan bahawa kita sentiasa menjunjung titah Sultan dan mengikut ketetapan kerajaan negeri.
"Buat masa ini, kita akan menunggu sebarang keputusan daripada exco berkaitan perkara ini," katanya.
Pada 17 Jun lalu, sebuah media tempatan melaporkan mengenai banyak papan tanda ditulis dalam bahasa Cina di Tanjong Sepat hingga menerima kecaman daripada ramai pihak.