PORT DICKSON - Dua lelaki ditahan berserta sembilan kotak minuman alkohol pelbagai jenis dirampas dalam Operasi Bersepadu petang tadi ekoran insiden kematian akibat terminum arak beracun yang dilaporkan sebelum ini di sini.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, sebanyak 10 premis yang menjual minuman alkohol telah diperiksa dalam operasi ini berbanding 19 premis sebelum ini.
"Dua lelaki berusia 23 dan 29 tahun ditahan berserta rampasan sebanyak sembilan kotak minuman alkohol pelbagai jenis turut dilakukan di sebuah premis atas kesalahan Sek 135(1)(d) Akta Kastam 1967 iaitu memiliki barang belum lulus Kastam.
"Premis yang sama turut dikompaun oleh pejabat kesihatan atas kesalahan peraturan 11 (1)(j) Peraturan-Peraturan Makanan 1985 atas kesalahan label," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, sembilan kotak itu mengandungi 322 botol minuman beralkohol pelbagai jenis dengan 69.84 liter berharga RM1,610 dan cukai yang tidak dibayar berjumlah RM995.15.
"Operasi Bersepadu sebegini serta pemantauan berterusan akan dilakukan bersama agensi penguat kuasa berkaitan bagi memastikan penjualan minuman alkohol sebegini dapat dihentikan.
"Operasi ini bermula jam 3 petang dan berakhir pada jam 6 petang melibatkan pasukan Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kastam, Majlis Perbandaran Port Dickson dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna," katanya.
Terdahulu, media melaporkan, dua maut manakala tiga lagi masih mendapatkan rawatan di Unit ICU akibat mengalami keracunan metanol.
Kematian membabitkan seorang lelaki warga Myanmar, 27, dan seorang wanita dari Jempol, 26, dipercayai akibat terminum arak beracun, yang dipercayai tidak berdaftar secara sah.
Dalam pada itu, sehingga kini tiga mangsa yang dirawat masih dirawat, dua dilaporkan stabil, manakala seorang lagi masih tidak sedarkan diri.
Manakala, pagi tadi tiga suspek dipercayai terlibat dengan aktiviti penjualan arak beracun ditahan reman selama empat hari untuk bantu siasatan.
Suspek berusia 19 hingga 56 tahun itu direman sehingga 24 Jun ini bagi membantu polis menjalankan siasatan.