Gangguan monyet di Johor membimbangkan

Iklan
Zainal dan isterinya, Noridah Abd Hamid, 58 menunjukkan hiasan kelapa yang dirosakkan oleh monyet.

MUAR - Tindakan agresif ratusan monyet yang membuat kacau ganggu di beberapa kawasan di Johor terus membimbangkan.

Penduduk dari Taman Bakri Maju, Urah Chek, 52, berkata, ratusan monyet liar yang menjadikan kebun persendirian berhampiran kawasan perumahan itu sebagai habitat mereka menimbulkan masalah kepada lebih 300 penghuni, di sini.

Iklan
Iklan

Katanya, tidak sekadar merosakkan tanaman, namun haiwan itu juga bertindak agresif apabila sering menggali sampah sarap di dalam tong sehingga kawasan perumahan menjadi kotor.

"Sampah yang dibuang dalam tong sampah habis diselongkar haiwan ini. Monyet ini akan gali sampai jumpa sisa makanan dan lebihan sampah lain dibaling begitu sahaja di jalan utama.

Iklan

"Keadaan ini menyebabkan kawasan perumahan berbau busuk sebab air sampah. Tong sampah yang digali bukan sikit, habis semua tong sampah penduduk dikacau. Macam di lorong saya ada hampir 20 tong sampah, daripada hujung belakang sehingga tong sampah paling depan semua disepahkan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Menurut Urah, keadaan itu sukar dikawal berikutan bilangan monyet yang membuat kacau terlalu banyak hingga mencecah ratusan ekor.

Iklan

Katanya, masalah itu pernah dimaklumkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) daerah dan pihak berkenaan telah beberapa kali membuat tinjauan, namun keadaan itu masih berlarutan sehingga kini.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Zainal Ahmad, 61, berkata, taman bunga mini yang dibina di laman rumahnya juga rosak teruk apabila pelbagai kayu perhiasan dicabut.

"Isteri saya pulang ke rumah dan dapati banyak paku ditabur di halaman rumah selain kayu binaan untuk menggantung pasu bunga dicabut. Tindakan monyet ini bukan sahaja menyusahkan penduduk, namun turut mengancam keselamatan.

"Pasu bunga orkid yang digantung dibaling ke lantai menyebabkan tanah berselerak di laman rumah. Saya tahu monyet ini sukar ditangkap sebab terlalu banyak, justeru saya mencadangkan jika pihak berkaitan menjejaki pemilik kebun berhampiran taman perumahan ini kerana keadaan kebunnya yang dipenuhi semak-samun dan tidak diselenggara mengundang habitat perosak ini,” katanya.

Monyet yang dikesan membuat gangguan.

Peruntukan khas disalur bina sangkar

Dalam pada itu, Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal mengakui masalah itu sering menjadi kebimbangan dalam kalangan penduduk di negeri ini.

Oleh demikian katanya, peruntukan khas telah disalurkan kepada Perhilitan Johor untuk membina sangkar dan menangkap monyet serta kera liar di kawasan penempatan penduduk.

"Bagaimanapun, saya akan berbincang lagi dengan Perhilitan untuk tindakan mendalam bagi menyelesaikan isu ini.

"Ia bukan masalah di daerah ini sahaja, tapi di tempat-tempat lain pun sama, memang isu gangguan monyet dan kera agak serius,” katanya ketika ditemui di Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Bukit Kepong baru-baru ini.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Johor, Salman Saaban mengakui konflik monyet dan kera di negeri ini agak serius.

Katanya, aduan berkaitan spesis itu adalah kedua tertinggi selepas gajah dan babi hutan (ketiga).

"Bagi masalah ini, pihak jabatan menasihatkan orang ramai agar tidak melakukan tindakan sendiri dalam menangani masalah kacau ganggu spesis berkenaan kerana boleh mendatangkan bahaya atau berisiko diserang.

"Jika bertembung, elakkan melakukan provokasi atau cubaan untuk mengancam haiwan ini. Selain itu, orang ramai juga dinasihatkan supaya memastikan kawasan rumah atau kebun sentiasa bersih bagi mengelakkan hidupan ini tertarik ke kawasan berkenaan,” katanya.

Dalam pada itu, Salman menyarankan orang ramai untuk melaporkan perkara itu ke Pejabat Perhilitan daerah yang terdekat bagi tindakan kawalan monyet dan kera.