MENTAKAB - Nasib pesakit tulang rapuh,Muhammad Adam Irfan Zamrul Amin,16, dari Kampung Mambang Berulang di sini mendapat perhatian Pertubuhan Kebajikan Amal Silaturahim Isteri-Isteri Harapan Malaysia (Kasih Malaysia).
Anak bongsu daripada tiga beradik itu tidak dapat meneruskan pembelajaran selepas penyakit itu membantutkan pergerakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Cermin itu.
Difahamkan Muhammad Adam tidak menyertai sesi pembelajaran di sekolah itu sejak awal tahun ini.
Kasih Malaysia ketika kunjungan ke rumah Muhammad Adam Irfan berkata, pelajar itu dipilih sebagai penerima bantuan pendidikan dalam program Kasih Malaysia yang pertama di daerah ini.
Pengerusi Biro Pendidikan Kasih Malaysia, Datin Norlin Shamsul Bahri berkata, bantuan tersebut berupa buku, peralatan sekolah dan menyediakan guru untuk mengajar di rumah.
"Kita melihat ramai yang mahu bersekolah tetapi mengalami masalah seperti sakit dan usaha ini dilihat dapat membantu mereka yang terlantar di rumah untuk meneruskan persekolahan.
"Kita berharap adik Muhammmad Adam Irfan yang begitu bersemangat untuk meneruskan pembelajaran dapat terus belajar dan menduduki peperiksaan seperti pelajar lain,” katanya.
Hadir sama, Menteri Luar, Datuk Saifudin Abdullah dan Ahli Parlimen Temerloh, Mohd Anuar Tahir.
Menurutnya, menerusi program itu selain bantuan peralatan persekolahan, Kasih Malaysia juga akan menyediakan guru ke rumah serta menyediakan perkhidmatan membawa Muhammad Adam Irfan menduduki peperiksaan.